Page 114 - ICGE VII - ABSTRACT BOOK
P. 114
INTERNATIONAL CONFERENCE ON GLOBAL EDUCATION VIII
“Visioning the Future of Education”
KAJIAN HUBUNGAN ANTARA TAHAP KETAGIHAN INTERNET
DENGAN MOTIVASI BELAJAR DAN KESEPIAN MURID SEKOLAH
RENDAH
Chan See See, Ruslin Amir
(sschan0623@gmail.com, ruslin.1959@gmail.com)
Abstrak
Dalam era globalisasi terdapat peningkatan tahap penggunaan Internet selaras dengan
ledakan maklumat dan teknologi gajet mudah akses. Bagaimanapun melayari Internet
tanpa terkawal boleh mencetuskan masalah ketagihan Internet khasnya kepada
golongan remaja dan kanak-kanak sekolah. Ini juga boleh mengundang pelbagai kesan
negatif kepada kanak-kanak seperti masalah psikososial, fizikal dan motivasi untuk
belajar. Justeru itu, kajian ini bertujuan untuk melihat tahap ketagihan Internet serta
hubungannya dengan motivasi belajar dan kesepian dalam kalangan murid tahap dua
sekolah rendah. Kajian ini dilakukan dengan pendekatan kuantitatif menggunakan
borang soal selidik dan dijawab oleh seramai 104 orang murid tahap dua sekolah
rendah di daerah Pulau Ketam. Dapatan statistik deskriptif mendapati peratusan
responden yang mempunyai tahap ketagihan Internet yang rendah adalah agak tinggi,
iaitu 58.7 peratus. Selain itu, perbezaan ketagihan Internet berdasarkan faktor jantina
menunjukkan perbezaan yang agak signifikan. Hasil daripada ujian korelasi Pearson
pula menunjukkan terdapat hubungan negatif yang signifikan antara ketagihan
Internet dengan motivasi belajar serta tidak terdapat hubungan yang signifikan antara
ketagihan Internet dengan kesepian. Hasil kajian ini memberi input bahawa ibu bapa
dan guru wajar mengawasi tempoh melayari Internet dalam kalangan anak dan murid
sebelum keadaan menjadi lebih kritikal dan memberi kesan buruk terhadap
perkembangan kanak-kanak.
Kata kunci: ketagihan Internet, motivasi belajar, kesepian
112

