Page 7 - BUKU PANDUAN PENGURUSAN SEKOLAH BPPS 2021
P. 7
iii
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
‘Kecemerlangan ialah hasil daripada sikap yang ingin
sentiasa melakukan yang terbaik’. Terima kasih yang
tidak terhingga kepada semua yang terlibat dalam
penerbitan Buku Panduan Pengurusan Sekolah (BPPS)
di bawah Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25)
ini.
BPPS merupakan manifestasi kolaboratif, komitmen
serta panduan yang perlu disediakan oleh sekolah
setiap kali bermulanya sesi persekolahan yang
memperincikan semua aktiviti sepanjang tahun semasa
serta tugas-tugas guru yang telah ditetapkan oleh
pentadbir. Ia juga menjadi rujukan kepada semua pihak
yang berkaitan bagi mencari sebarang maklumat
berkenaan sekolah dan juga semua warganya. Justeru,
buku panduan ini yang merupakan idea sekumpulan pemikir dalam arena
pendidikan telah berusaha menyediakan satu panduan dalam pentadbiran
pendidikan yang dapat menjadi contoh kepada pengurusan di sekolah.
BPPS ini mampu menunjuk jalan proses perancangan yang tersusun secara
berterusan, tadbir urus sumber manusia yang seimbang serta Surat Pekeliling
Ikhtisas dan Surat Pekeliling Kewangan sebagai bahan rujukan kepada
pemimpin sekolah. Medium bertulis seperti buku ini merupakan salah satu
kaedah yang mudah dan berkesan untuk memberikan kefahaman berkaitan
sesuatu hasrat yang dilaksanakan. Elemen-elemen penting dalam pendidikan
seharusnya digabungjalinkan dengan nilai-nilai melalui peraturan yang
disediakan oleh KPM. Saya berharap agar buku ini dapat memberi manfaat
kepada semua pemimpin sekolah di bawah Program Sekolah Transformasi.
Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah
menyumbang daya pemikiran dan tenaga dalam penghasilan buku ini. Semoga
kita dapat mengharungi saingan yang semakin mencabar, dan dalam masa yang
sama dapat melestarikan ‘We Deliver’.
ZAKIDAH BINTI ABDULLAH
Penolong Pengarah,
Unit Sekolah Jenis Khas, Sektor Pengurusan Sekolah
@Ketua Penyunting

