Page 2 - BUKU PENGURUSAN SKK 2021 NEW
P. 2
BUKU PENGURUSAN 2021 SK KOPOK JBA1014 TRANSFORMASI 25 (TS 25)
GAPURA ASPIRASI PEGAWAI PPD
KATA ALU-ALUAN
PEGAWAI PENDIDIKAN DAERAH PASIR GUDANG
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah, dipanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah
kurnia dan inayat-Nya, saya diberi kesempatan ini untuk menukilkan sepicing bicara dalam majalah
ini. Tahniah dan syabas saya ucapkan atas inisiatif serta prakarsa yang dilakukan oleh semua pihak,
khususnya kepada sidang redaksi majalah kerana memperlihatkan komitmen yang jitu untuk
memastikan majalah sekolah terus menjadi wadah penyampaian informasi untuk memenuhi aspirasi
dan hala tuju dalam pendidikan pada masa ini.
Sesungguhnya, penerbitan majalah sekolah dapat mencerminkan keperibadian dan
perwatakan seluruh warga sekolah di daerah ini yang sentiasa bersedia untuk memacu suatu
pencapaian yang lebih tinggi dari masa ke masa. Majalah sekolah akan menjadi suatu dokumentasi
yang penting untuk menjanakan kecemerlangan kerana dalam majalah ini, terhimpun segala catatan
pengalaman dan pencapaian yang dapat menjadi pemangkin ke arah pelaksanaan Pendidikan
Abad ke-21 dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 (PPPM). Dalam usaha
Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang untuk melangkah lebih jauh ke hadapan untuk memenuhi
aspirasi yang terkandung dalam moto yang mutakhir “Teguh Bitara: Konsistensi dan Sinergi
Memacu Kejayaan”, kolaboratif dan komitmen yang padu mestilah digembleng secara terancang.
Saya percaya bahawa usaha yang bersepadu dan berterusan amat diperlukan, khususnya ketika
negara kita sedang dilanda ancaman wabak Covid-19 yang telah mewujudkan suatu norma baharu
dalam pendidikan yang lebih berteraskan teknologi maklumat dan komunikasi.
Kompetensi pemimpin dan kesiapsiagaan para pendidik untuk melestarikan kecemerlangan
pendidikan melalui pelbagai wahana amat dituntut untuk memastikan kebitaraan daerah Pasir
Gudang dalam era pendidikan yang semakin kompleks dan mencabar. Kita seharusnya memandang
jauh ke hadapan untuk melakarkan kegemilangan dalam semua aspek, khususnya dalam bidang
pengurusan pendidikan, kurikulum dan kokurikulum. Pemimpin di sekolah perlu bersedia untuk
melakukan anjakan paradigma dan menjadi teladan yang terbaik untuk mengurus perubahan dan
inovasi, kemahiran instruksional, dan pengurusan sumber dan operasi ke arah pembangunan
pendidikan yang holistik. Sasaran yang kita tekadkan bersama-sama, iaitu pembinaan Sekolah
Berkualiti dan Kemenjadian Murid perlu diutamakan walaupun berlaku rombakan yang besar
dalam sistem pendidikan angkara penularan wabak Covid-19 ini. Saya amat yakin dan percaya
bahawa kita memiliki kemampuan dan keupayaan untuk memastikan segala agenda yang dirancang
dapat direalisasikan.
Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada semua pihak atas usaha yang dicurahkan
untuk penerbitan majalah ini. Saya berharap agar usaha ini akan sentiasa diberkati Allah SWT dan
mendapat rahmat daripada-Nya.
Sekian, terima kasih.
HAJI KUSWANDI BIN TAYEN
Pegawai Pendidikan Daerah Pasir Gudang
1

