Page 210 - Bahasa Melayu Tingkatan 5 KSSM
P. 210
Akhbar
Berbahasa Melayu Pertama
Akhbar berbahasa Melayu pertama yang diterbitkan pada tahun 1876
di Singapura ialah Jawi Peranakan. Akhbar ini diterbitkan dalam empat halaman
pada setiap hari Isnin dengan jumlah cetakan sekitar 250 naskhah. Bagi tahun
pertama, penerbit menggunakan cap litograf tetapi setelah mesin cetak Melayu
(Jawi) diperoleh dari England, akhbar ini dicetak dengan gaya cetakan yang jelas
dan mudah.
Antara tokoh penting dalam penerbitan akhbar ini termasuklah Munsyi
Muhammad Said Dada Muhyiddin yang berasal dari Pulau Pinang. Beliau
dilahirkan daripada keluarga peranakan Tamil di Pulau Pinang. Keadaan
ini bukan sahaja menunjukkan peranan masyarakat Jawi Peranakan dalam 14
pembangunan Pulau Pinang tetapi juga dalam pembangunan dunia Melayu
Nusantara. Buktinya, walaupun akhbar Jawi Peranakan diterbitkan di Singapura, TEMA
pengarangnya ialah anak kelahiran Pulau Pinang.
Jawi Peranakan diterbitkan untuk menyebarkan ajaran Islam dalam kalangan
orang Melayu. Selain itu, akhbar ini juga menyiarkan bahan bacaan seperti berita
tempatan, petikan berita luar negara, dan surat daripada pembaca. Akhbar ini
juga digunakan sebagai wacana untuk mengembangkan hasil kesusasteraan
Melayu yang sebahagian daripadanya bertemakan nasionalisme. Wartawan Jawi
Peranakan pula pada umumnya terdiri daripada kaum Jawi Peranakan. Mereka
banyak menulis tentang kepentingan orang Melayu.
Oleh sebab kekurangan bahan bacaan untuk
sekolah Melayu selepas pertengahan abad ke-19,
akhbar ini telah dijadikan sumber bacaan utama Citra Bahasa dan Sastera Kita
di sekolah Melayu. Akhbar ini diedarkan di Negeri-
negeri Selat dan di kawasan-kawasan sekitarnya
seperti Riau dan Sumatera Barat, dan juga
di Betawi, Semarang, dan Jawa. Jawi Peranakan
mempunyai beberapa ejen di London, Pulau
Pinang, Melaka, Kelang, Kuala Kangsar, Johor, Deli,
Padang, Betawi, dan Sarawak.
Jawi Peranakan diterbitkan hingga bulan April
1895. Akhbar Jawi Peranakan yang menggunakan
cogan kata “Tawakal itu Sebaik-baik Bekal” ini
menjadi sumber penting dalam perkembangan
bahasa Melayu. Kemunculan akhbar ini
menjadi faktor penting dalam sejarah kegiatan
kewartawanan dan keintelektualan orang
Melayu. Kini, masih terdapat beberapa naskhah
akhbar ini di Arkib Negara Malaysia.
(Sumber: Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu Jilid 2, hlm. 1032 – 1033, 1995.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka)
2.4.1 Membaca pelbagai bahan ilmiah untuk membuat refleksi bagi meningkatkan pengetahuan dalam
pelbagai bidang ilmu. 183

