Page 261 - BTD Bahasa Melayu KSSM Tingkatan 2
P. 261

Skrip Pendengaran




                                                                                               IMBAS SAYA

                   Tema 1 Unit 2
                   1.1.1 Mendengar dan Bertutur
                   Etika Batuk dan Bersin – muka surat 7

                   Bersempena dengan Bulan Kesedaran Kesihatan dan Kebersihan, saya, Doktor Murniza binti Murad, akan
                   menyampaikan penerangan ringkas tentang “Batuk dan Bersin”.
                      Tahukah adik-adik, semasa batuk, dianggarkan, 3000 titisan air liur dikeluarkan? Semasa bersin pula,
                   dianggarkan 40 000 titisan air liur dikeluarkan. Titisan yang lebih berat akan jatuh ke lantai akibat graviti.
                   Titisan yang lebih ringan pula akan diterbangkan ke udara lalu tersebar. Bermakna, batuk dan bersin akan
                   menyebarkan virus dan bakteria kepada orang lain. Oleh itu, cegah sebelum parah. Tatacara batuk dan bersin
                   yang betul perlulah dilakukan untuk mengelakkan penyebaran virus dan bakteria yang membawa penyakit
                   kepada orang ramai.
                      Bawalah sapu tangan atau tisu ke mana-mana. Semasa hendak batuk atau bersin, segera ambil sapu
                   tangan atau tisu tersebut untuk menutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin. Hal ini dapat mengelakkan
                   titisan air liur yang keluar tersebar di udara. Tisu yang digunakan hendaklah dibuang di dalam tong sampah
                   dengan serta-merta. Selepas itu, cuci tangan dengan sabun dan air bersih, atau gunakan sanitizer.
                      Mencegah lebih baik daripada mengubati. Jangan batuk dan bersin secara sesuka hati di khalayak ramai
                   atau di kawasan yang berhampiran dengan makanan. Batuk dan bersin yang dilakukan secara tidak beradab
                   mencerminkan imej diri yang negatif. Oleh itu, batuk dan bersinlah mengikut tatacara yang betul.
                      Sesungguhnya, kebersihan itu sebahagian daripada iman. Sihat dan bersih amalan mulia.
                      Sekian, terima kasih.



                   Tema 2 Unit 3
                   1.2.1 Mendengar dan Bertutur
                   Ilmu Ada di Mana-mana – muka surat 16

                   Farhana:  Saya berazam untuk menjejakkan kaki ke menara gading.
                   Syakila:  Bagus azam awak itu, Farhana. Bagaimanapun, ilmu bukan hanya boleh dituntut secara formal.
                   Farhana:  Maksud awak?
                   Syakila:  Maksud saya, kita boleh belajar sesuatu melalui pelbagai cara. Misalnya, kita boleh
                           mendapatkan ilmu dengan membaca pelbagai bahan yang bermanfaat di media cetak dan
                           media sosial.
                   Farhana:  Benar, Syakila. Pendapat awak memang tidak dapat saya sangkal. Oh, ya! Baru saya teringat.
                           Semalam ayah saya belajar cara-cara untuk menternak kambing boer melalui laman video
                           Youtube.
                   Syakila:  Ada banyak lagi perkara yang boleh kita pelajari secara tidak formal. Misalnya, banyak yang
                           boleh kita pelajari sewaktu melancong ke tempat-tempat menarik. Kita boleh melalui
                           pengalaman baharu di rantau orang. Abang saya pernah belajar membuat kimchi, iaitu makanan
                           tradisional orang Korea Selatan sewaktu berkunjung ke sana.
                   Farhana:  Eh, melancong itu aktiviti orang yang banyak duit! Saya ini orang biasa-biasa saja, Syakila.
                   Syakila:  Kalau begitu, kita boleh belajar apa-apa sahaja dengan orang yang lebih berpengalaman. Saya
                           pernah belajar menyirat atau membubul jala dengan datuk saya. Nenek saya pula mengajar saya
                           cara-cara menganyam ketupat palas.
                   Farhana:  Wah, sangat mengujakan pengalaman awak itu! Selepas ini, bolehlah saya berguru dengan awak
                           pula. (ketawa)
                   Syakila:  Boleh, apa salahnya. Awak hendak belajar menyirat jala atau menganyam ketupat palas? Saya
                           tiada halangan untuk menurunkan ilmu saya kepada awak. Bagaimanapun, perlu awak berikan
                           pengerasnya dahulu. (ketawa)

                                                                                                     249
   256   257   258   259   260   261   262   263   264