Page 262 - BTD Bahasa Melayu KSSM Tingkatan 2
P. 262

Farhana:  Pengeras? (hairan)
                    Syakila:  Saya bergurau sajalah, Farhana. Apabila ada waktu senggang nanti, saya ajar awak cara-cara
                             menganyam ketupat palas. Menyirat jala itu saya tidak begitu mahir.
                    Farhana:  Baiklah, Syakila. Hari telah hampir senja. Saya pulang dahulu. Jumpa lagi.
                    Syakila:  Jumpa lagi.


                    Tema 2 Unit 4
                    1.2.1  Mendengar dan Bertutur
                    Ingin Jadi Sasterawan – muka surat 21
                    Di rumah saya ada bilik bacaan. Di dalam bilik itu terdapat pelbagai bahan bacaan milik abang sulung
                    saya. Ada kamus, tesaurus, ensiklopedia dan buku-buku ilmiah. Buku-buku sastera seperti novel, antologi
                    cerpen, antologi sajak dan antologi drama juga ada di dalam bilik bacaan itu. Pada waktu lapang, saya selalu
                    membaca buku-buku tersebut.
                        Setelah selalu membaca  buku-buku tersebut, timbul minat saya untuk menjadi penulis. Oleh sebab
                    itu, apabila Cikgu Fasihah mencari murid yang berminat untuk menyertai Kem Penulis Muda, saya tidak
                    melepaskan peluang keemasan itu. Tawaran itu bagai orang mengantuk disorongkan bantal. Tanpa membuang
                    masa, saya menemui Cikgu Fasihah agar nama saya tidak terlepas sebagai peserta kem tersebut.
                        Hari yang dinanti-nantikan  pun tiba.  Kem Penulis Muda itu  diadakan  di Kuala Gula, kawasan
                    pelancongan yang popular di daerah Kerian. Tempat ini menjadi tumpuan pemerhati burung kerana terdapat
                    pelbagai spesies burung di sini. Panorama yang menarik di sini pula memang sesuai untuk para penulis muda
                    mendapatkan ilham.
                        Fasilitator kem ini ialah dua orang penulis mapan, Encik Zaidin Abadi dan Encik Hassan Baseri Budiman.
                    Mereka telah membimbing kami menulis cerpen dan sajak. Pelbagai teknik penulisan telah didedahkan oleh
                    mereka kepada kami. Encik Zaidin dan Encik Hassan telah menceritakan cara mereka mencari ilham untuk
                    menulis cerpen dan sajak.
                        Gaya bahasa dalam penulisan turut diberikan penekanan dalam kem ini. Kedua-dua fasilitator telah
                    memberikan penerangan yang jelas tentang gaya bahasa. Antaranya kami telah diajarkan penggunaan metafora,
                    personifikasi, simile dan hiperbola dalam sajak. Mereka juga mengajar kami mencipta ungkapan-ungkapan
                    menarik yang boleh digunakan dalam sajak.
                        Kem Penulis Muda yang diadakan selama dua hari satu malam itu amat bermakna kepada saya. Semoga
                    cita-cita saya untuk menjadi sasterawan yang terkenal pada suatu ketika nanti akan tercapai.


                    Tema 3 Unit 5
                    1.1.2 Mendengar dan Bertutur
                    Mengejar Impian - muka surat 28

                    RAKAMAN PERBUALAN TELEFON
                    Pegawai:   Jabatan Bomba dan Penyelamat. Selamat pagi.
                    Firdaus:   Selamat pagi. Nama saya Firdaus. Saya bercita-cita untuk menjadi pegawai Bomba dan
                               Penyelamat. Dengan siapa saya perlu bercakap untuk bertanya tentang hal ini?
                    Pegawai:   Nama saya Norma. Encik Firdaus boleh mengajukan soalan kepada saya.
                    Firdaus:   Terima kasih, Puan Norma. Boleh saya tahu tentang tatacara untuk menjadi pegawai Bomba
                               dan Penyelamat?
                    Pegawai:   Boleh. Encik Firdaus perlu mengisi dan menghantar borang permohonan kepada Suruhanjaya
                               Perkhidmatan Awam atau SPA. Setelah itu, pihak SPA akan memberikan jawapan sama
                               ada permohonan diterima atau ditolak. Jika permohonan diterima, Encik Firdaus akan
                               dipanggil untuk menjalani Ujian Ketahanan Fizikal dan temu duga.
                    Firdaus:   Ada ujian? Apakah perkara yang diuji dalam ujian itu?
                    Pegawai:   Dalam ujian itu, setiap calon perlu menjalani pemeriksaan fizikal dan ujian kecergasan.
                               Selepas itu, baharulah calon-calon ditemu duga. Calon yang melepasi ujian dan temu duga,
                               akan menerima surat tawaran untuk menjalani latihan rekrut.
                    Firdaus:   Oh, ada latihan! Berapa lama latihan tersebut dan di mana pusat latihannya?

                     250
   257   258   259   260   261   262   263   264