Page 6 - BUDAYA SEMANGAT KEJIRANAN
P. 6
LANGKAH-LANGKAH UNTUK MEMUPUK SEMANGAT
KEJIRANAN
Langkah primer yang harus diambil ialah mengadakan aktiviti
gotong-royong. Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat berkumpul
dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan
dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat
berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus
membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan
lebih dekat. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara
bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman,
menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara, dan sebagainya.
Melalui cara ini, kita dapat menjalinkan dan meningkatkan hubungan
sesama jiran.
Selain itu, kita juga hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah
terbuka semasa sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini dapat
membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat
kejiranan dalam kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah
terbuka, jiran dapat bertanya khabar dan bercerita tentang
pengalaman dengan lebih dekat. Seterusnya, melalui majlis rumah
terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk
berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang
disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari
Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas, Deepavali, dan
sebagainya majlis-majlis rumah terbuka hendaklah dijadikan acara
tahunan. Tegasnya, majlis rumah terbuka mampu mendekatkan ahli
masyarakat untuk bertemu muka dan berkenalan dengan lebih erat
lagi.
Cara yang afdal untuk memupuk semangat kejiranan ialah ibu bapa
perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak. Hal ini kerana ibu
bapa merupakan guru pertama dan guru terbaik kepada anak-anak.
Jika ibu bapa menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak
maka mereka akan mencontohi teladan yang ditunjukkan
kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Sekiranya ibu bapa
menunjukkan suri teladan yang buruk kepada anak-anak maka
mereka akan menjadi anak-anak yang jahat malah lebih teruk
lagi. Hal ini boleh dianologikan seperti anak burung yang baru
belajar terbang daripada ibunya. Sebagai contoh, ibu bapa haruslah
mengunjungi atau menziarahi jiran tetangga walaupun mereka
berada dalam keadaan yang baik atau tidak. Selain itu, ibu bapa
haruslah tidak sombong dengan jiran dan sering bertegur-sapa agar
dapat memupuk semangat kejiranan.

