Page 188 - malaysia_2017
P. 188
PENGENALAN
RINGKASAN LAPORAN KEMENTERIAN-KEMENTERIAN
Berikutan rombakan Kabinet Persekutuan pada 28 Julai 2015 (Selasa) menerusi
satu sidang media khas oleh YAB Perdana Menteri, Kementerian Pendidikan Tinggi
(KPT) diwujudkan semula dengan rasminya bersesuaian dengan peruntukan Akta
yang berkaitan dengan pendidikan tinggi.
KPT berperanan penting dalam mewujudkan ekosistem pengajian tinggi yang
terbaik di universiti awam (UA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), politeknik
dan juga kolej komuniti. Semua institusi ini merupakan komponen utama
ekosistem pendidikan dan latihan negara yang akan menjana para pemikir,
ilmuwan, sarjana, tenaga kerja mahir dan separa mahir sesuai dengan peranan
masing-masing.
Bersesuaian dengan matlamat ini, KPT mempunyai tiga buah jabatan bagi
pengurusan institusi pengajian tinggi, iaitu:
• Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT)- menguruskan UA dan IPTS
• Jabatan Pendidikan Politeknik (JPP) - menguruskan politeknik
• Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti (JPKK)- menguruskan kolej komuniti
Usaha untuk mencapai matlamat ini turut disokong oleh agensi yang berperanan
penting dalam pengajian tinggi, iaitu:
• Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualification Agency) - badan tunggal
yang menyelia dan menyelaras jaminan kualiti dan akreditasi pendidikan
tinggi negara.
• Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) - badan yang
mengurus pembiayaan untuk tujuan pendidikan tinggi.
AKTIVITI DAN PENCAPAIAN
KARNIVAL PENDIDIKAN TINGGI NEGARA ‘JOM MASUK IPT’ 2017
Karnival Pendidikan Tinggi Negara ‘Jom Masuk IPT’ (KPT2017) telah berlangsung
di seluruh negara bermula dengan lokasi pertama di pekarangan pusat beli belah
Aeon Mall, Kota Bharu, Kelantan.
Program signature kementerian ini bermula pada 11 Februari hingga 26 Mac di
enam zon utama iaitu Kelantan, Perlis, Johor, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak
serta satu zon mini di Negeri Sembilan. Program ini bertujuan menyebar
maklumat mengenai peluang pendidikan tinggi dalam negara secara meluas selain
mempromosi kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) bagi sesi akademik
2017/2018 dengan sasaran 350,000 pengunjung.
Program ini bermula di Kelantan dan berakhir di Negeri Sembilan dengan
melibatkan pelbagai agensi berkaitan pendidikan tinggi termasuk 20 universiti
awam, universiti swasta, Jabatan Pendidikan Politeknik serta Jabatan Pendidikan
Kolej Komuniti.
188 MALAYSIA
2017

