Page 353 - PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN Cetakan Semula Sebagaimana pada 1 November 2010
P. 353
Perlembagaan Persekutuan
CaTaTaN
per. 172
Perkara ini dimansuhkan oleh Akta 25/1963, seksyen 8, berkuat kuasa dari 29-08-1963, dan
pemansuhan itu tidak menjejaskan keberterusan mana-mana mahkamah yang disebut dalam
Perkara itu. ia berbunyi seperti yang berikut:
“172. Mahkamah Besar yang wujud sebaik sebelum Hari Merdeka, hendaklah menjadi
Mahkamah Besar bagi maksud Perlembagaan ini; dan, tanpa menjejaskan keluasan Perkara
162, mana-mana mahkamah yang lain yang ketika itu menjalankan bidang kuasa dan
fungsi hendaklah, sehingga undang-undang persekutuan memperuntukkan selainnya, terus
menjalankannya.”.
per. 173
Perkara ini dimansuhkan oleh Akta 25/1963, seksyen 8, berkuat kuasa dari 29-08-1963. ia
berbunyi seperti yang berikut:
“173. Apa-apa rayuan atau permohonan untuk mendapatkan kebenaran untuk merayu
daripada Mahkamah Besar kepada Baginda ratu dalam Majlis Mesyuarat yang belum
selesai sebaik sebelum Hari Merdeka hendaklah pada dan selepas Hari Merdeka dikira
sebagai suatu rayuan atau permohonan untuk mendapatkan kebenaran untuk merayu di
bawah Perkara 131.”.
per. 174
Perkara ini yang dimansuhkan oleh Akta 26/1963, seksyen 70, berkuat kuasa dari 16-09-1963,
berbunyi seperti yang berikut:
“174. (1) Hakim Besar dan hakim-hakim lain Mahkamah Besar yang memegang jawatan
sebaik sebelum Hari Merdeka hendaklah, walau apa pun apa-apa jua dalam Perkara 123,
menjadi Hakim Besar dan hakim-hakim lain Mahkamah Besar pada hari itu dan hendaklah
memegang jawatan atas terma-terma dan syarat-syarat yang tidak kurang baiknya daripada
terma-terma dan syarat-syarat yang terpakai bagi mereka sebaik sebelum hari itu.
(2) Orang yang memegang jawatan Peguam Negara sebaik sebelum Hari Merdeka
hendaklah terus memegang jawatan itu atas terma-terma dan syarat-syarat yang tidak kurang
baiknya daripada terma-terma dan syarat-syarat yang terpakai baginya sebaik sebelum Hari
Merdeka dan adalah, walau apa pun apa-apa jua dalam Perkara 123, layak dilantik sebagai
hakim Mahkamah Besar.
(3) Seseorang yang sebaik sebelum Hari Merdeka ialah anggota perkhidmatan kehakiman
dan perundangan Persekutuan dan akan layak dilantik sebagai seorang hakim Mahkamah
Besar jika dia warganegara adalah layak sedemikian walaupun dia bukan warganegara.
(4) Seseorang boleh, dalam tempoh sepuluh tahun yang bermula dari Hari Merdeka,
dilantik menjadi seorang Hakim Mahkamah Besar walaupun dia tidak layak dilantik di
bawah Perkara 123 jika dia adalah dan telahpun selama tempoh tidak kurang daripada
lima tahun layak menjalankan amalan sebagai seorang peguam bela di dalam mahkamah
di mana-mana negara Komanwel yang mempunyai bidang kuasa yang tidak terhad dalam
perkara sivil atau jenayah; dan seseorang yang dilantik menurut kuasa Fasal ini boleh
dilantik bagi suatu tempoh tetap (sama ada tempoh itu tamat sebelum atau selepas dia
mencapai umur enam puluh lima tahun).
(5) Tanpa menjejaskan keluasan Perkara 162, tiada apa-apa jua dalam Bahagian iX
boleh dikira sebagai menjejaskan peruntukan undang-undang yang sedia ada berhubung
dengan persidangan oleh hakim-hakim dari negara-negara di luar Persekutuan di Mahkamah
Besar.”.

