Page 384 - PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN Cetakan Semula Sebagaimana pada 1 November 2010
P. 384

200                 Perlembagaan Persekutuan                 [jaDual
                                                                                 keliMa]

                    3.  Majlis  raja-raja  hendaklah  mempunyai  suatu  Mohor  Besar  raja-raja,
                    yang  hendaklah  disimpan  dalam  jagaan  seseorang  yang  dilantik  oleh  Majlis
                    itu.

                    4.  Orang  yang  dilantik  di  bawah  seksyen  3  hendaklah  dikenali  sebagai
                    Penyimpan Mohor Besar raja-raja, hendaklah bertindak sebagai setiausaha Majlis
                    raja-raja  dan  hendaklah  memegang  jawatannya  selama  yang  diperkenankan
                    oleh  Majlis  itu.

                    5.  Majoriti  anggota  Majlis  raja-raja  hendaklah  membentuk  kuorum  dan,
                    tertakluk  kepada  peruntukan  Perlembagaan  ini,  Majlis  itu  boleh  menentukan
                    tatacaranya  sendiri.
                    6.  Penyimpan Mohor Besar raja-raja hendaklah memanggil mesyuarat Majlis
                    raja-raja apabila dikehendaki berbuat demikian oleh Yang di-Pertuan Agong
                    atau oleh tidak kurang daripada tiga orang anggota Majlis itu dan, dengan tidak
                    dikehendaki  berbuat  demikian,  tidak  lewat  daripada  empat  minggu  sebelum
                    habis tempoh jawatan Yang di-Pertuan Agong dan apabila berlaku kekosongan
                    dalam  jawatan  itu  atau  dalam  jawatan Timbalan Yang  di-Pertuan Agong.

                    7.  Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri Negeri-Negeri yang tidak mempunyai
                    raja  tidaklah  boleh  menjadi  anggota  Majlis  raja-raja  bagi  maksud  apa-apa
                    prosiding yang berhubungan dengan pemilihan atau pemecatan Yang di-Pertuan
                    Agong atau pemilihan Timbalan Yang di-Pertuan Agong atau yang berhubungan
                    semata-mata dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-
                    Duli Yang Maha Mulia raja-raja atau dengan perbuatan, amalan atau upacara
                    agama.

                    8.  Dalam  apa-apa  hal  jika  Majlis  raja-raja  tidak  sebulat  suara,  Majlis
                    raja-raja hendaklah mengambil keputusannya mengikut majoriti anggota yang
                    mengundi,  tertakluk  bagaimanapun  kepada  peruntukan jadual  Ketiga.
                    9.  Apa-apa  persetujuan,  pelantikan  atau  nasihat  Majlis  raja-raja  yang
                    dikehendaki di bawah Perlembagaan ini hendaklah ditandai dengan Mohor Besar
                    raja-raja; dan jika, dalam hal apa-apa pelantikan yang dicadangkan, majoriti
                    anggota  Majlis  itu  telah  menunjukkan,  melalui  surat  yang  ditujukan  kepada
                    Penyimpan  Mohor  Besar  raja-raja,  bahawa  mereka  menyokong  pelantikan
                    itu, maka Penyimpan Mohor Besar raja-raja hendaklah menandai sedemikian
                    nasihat  Majlis  itu  dengan  tidak  memanggilnya  bermesyuarat.
   379   380   381   382   383   384   385   386   387   388   389