Page 346 - PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN CETAKAN SEMULA Sebagaimana pada 1 November 2010
P. 346
Perlembagaan Persekutuan
CaTaTaN
per. 163, 164 & 165
1. Perkara-perkara ini dimansuhkan oleh Akta 25/1963, seksyen 8, berkuat kuasa dari
29-08-1963 dan berbunyi seperti yang berikut:
“163. (1) Ordinan Peraturan-peraturan Darurat 1948, dan kesemua perundangan subsidiari
yang dibuat di bawahnya hendaklah, jika tidak ditamatkan terlebih dahulu melalui suatu
Proklamasi di bawah Fasal (2), terhenti berkuat kuasa apabila habis tempoh satu tahun
bermula dari Hari Merdeka atau, jika diteruskan di bawah Perkara ini, apabila habis tempoh
satu tahun dari tarikh Ordinan dan perundangan subsidiari itu sepatutnya terhenti berkuat
kuasa jika tidak kerana penerusan itu atau penerusan yang terakhir itu.
(2) Yang di-Pertuan Agong boleh pada bila-bila masa memansuhkan Ordinan tersebut
dan mana-mana perundangan subsidiari yang dibuat di bawahnya melalui suatu Proklamasi
yang mengisytiharkan bahawa tidak perlu lagi untuk mengadakan Ordinan itu.
(3) Ordinan dan perundangan subsidiari tersebut bolehlah diteruskan dari semasa ke
semasa melalui suatu ketetapan setiap Majlis Parlimen.
(4) Semasa Ordinan tersebut berkuat kuasa mana-mana perundangan subsidiari yang
sepatutnya boleh dibuat di bawahnya sebaik sebelum Hari Merdeka bolehlah dibuat dengan
sah di bawahnya walaupun ia tidak selaras dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan
ini, dan Parlimen boleh, walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, meminda
atau memansuhkan mana-mana peruntukannya melalui undang-undang.
164. (1) Majlis Undangan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah
Melayu 1948, hendaklah terus wujud pada dan selepas Hari Merdeka dan tidak boleh
dibubarkan sebelum hari pertama dalam bulan januari, tahun seribu sembilan ratus lima
puluh sembilan.
(2) jika Suruhanjaya Pilihan raya menasihati Yang di-Pertuan Agong bahawa tidak
semunasabahnya boleh dilaksanakan untuk diadakan pilihan raya ke Parlimen mengikut
Perlembagaan ini sebelum hari pertama dalam bulan julai, tahun seribu sembilan ratus
lima puluh sembilan, Yang di-Pertuan Agong pada bila-bila masa selepas hari pertama
dalam bulan januari, tahun seribu sembilan ratus lima puluh sembilan, melalui Proklamasi
meneruskan Majlis Undangan sehingga suatu tarikh yang tidak lewat daripada akhir tahun
itu, sebagaimana yang ditentukan dalam Proklamasi itu, dan Majlis Undangan hendaklah
diteruskan dengan sewajarnya dan terbubar pada tarikh itu.
(3) Sehingga terbubarnya Majlis Undangan Bab 4 dan 5 Bahagian iV tidaklah
terpakai, dan kuasa Parlimen di bawah Perlembagaan ini boleh dijalankan oleh Yang di-
Pertuan Agong dengan nasihat dan persetujuan Majlis Undangan; dan dengan demikian itu,
berhubung dengan tempoh yang berakhir dengan terbubarnya Majlis Undangan, sebutan
dalam Perlembagaan ini, selain sebutan dalam Perkara 159, mengenai Parlimen, mana-
mana satu atau kedua-dua Majlis Parlimen dan sesuatu Akta Parlimen hendaklah masing-
masing ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat dan
persetujuan Majlis Undangan, Majlis Undangan dan sesuatu Ordinan yang diperbuat oleh
Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat dan persetujuan Majlis itu.
(4) Sehingga terbubarnya Majlis Undangan peruntukan Perjanjian Persekutuan Tanah
Melayu 1948, yang dinyatakan dalam ruang pertama jadual Kedua Belas hendaklah terus
berkuat kuasa, tertakluk kepada ubah suaian yang dinyatakan dalam ruang kedua jadual
itu dan kepada ubah suaian selanjutnya yang berikut, iaitu—
(a) bagi sebutan mengenai Negeri Melayu atau Negeri Selat hendaklah digantikan
dengan sebutan mengenai Negeri;
(b) bagi sebutan mengenai Pesuruhjaya Tinggi hendaklah digantikan dengan sebutan
mengenai Yang di-Pertuan Agong; dan
(c) bagi sebutan mengenai Majlis Mesyuarat Kerajaan Persekutuan hendaklah digantikan
dengan sebutan mengenai jemaah Menteri,
dan Perkara 61 hendaklah terpakai dengan ubah suaian yang perlu.

