Page 5 - Pendidikan Moral Tingkatan 4 KSSM_Neat
P. 5
PENDAHULUAN
Buku teks Pendidikan Moral Tingkatan 4 Sekolah Menengah ini ditulis berdasarkan
Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Pendidikan Moral Tingkatan 4
Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM). Buku ini berteraskan matlamat mata
pelajaran Pendidikan Moral untuk membentuk insan berakhlak mulia dan berintegriti
yang berpegang pada nilai universal berasaskan prinsip moral dan menyumbang
ke arah perpaduan dan kesejahteraan negara serta masyarakat global.
Buku teks ini berfokus pada tiga bidang, iaitu Bidang 5: Insan Bermoral, Bidang 6:
Jati Diri Moral dan Bidang 7: Moral dan Kenegaraan. Tiga fokus bidang ini merupakan
lanjutan daripada empat bidang yang telah dipelajari semasa murid berada di tingkatan
1, 2 dan 3. Setiap bidang mengandungi unit tertentu yang secara keseluruhannya
berjumlah 12 unit.
Bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran, setiap unit mempunyai
enam bahagian, iaitu rangsangan, konsep, pengukuhan, pengayaan, pemulihan dan
penilaian. Pada akhir buku teks, terdapat halaman senarai rujukan dan indeks. Bahagian
dalam setiap unit adalah seperti yang berikut:
RANGSANGAN
Setiap bidang dan unit dimulakan
dengan halaman rangsangan.
Halaman ini mengandungi maklumat
dan gambar bagi memberikan
gambaran awal tentang tajuk unit
tersebut. Halaman rangsangan pada
setiap unit mengandungi tajuk, hasil
pembelajaran dan cadangan nilai.
Gambar pada halaman ini juga boleh
dijadikan sebagai bahan set induksi
untuk memulakan sesuatu proses
pembelajaran dalam unit tersebut.
KONSEP
Bahagian ini mengandungi semua
standard pembelajaran yang telah
ditetapkan untuk unit tersebut.
Bahagian ini akan membantu murid
untuk mengetahui dan memahami
kandungan maklumat dalam unit
tersebut dengan lebih mendalam.
v

