Page 7 - Pendidikan Moral Tingkatan 4 KSSM_Neat
P. 7
Bagi memenuhi hasrat KSSM untuk melahirkan murid yang mempunyai Kemahiran
Pembelajaran Abad Ke-21, pelbagai ciri profil murid diterapkan dalam aktiviti dan latihan
supaya murid berupaya bersaing pada peringkat global. Ciri profil murid tersebut ialah
berdaya tahan, mahir berkomunikasi, pemikir, kerja sepasukan, bersifat ingin tahu,
berprinsip, bermaklumat, penyayang, prihatin dan patriotik.
Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), iaitu mengaplikasi, menganalisis, menilai
dan mencipta turut difokuskan dalam penulisan buku teks ini. Aktiviti dan latihan yang
disediakan dapat membuka ruang ke arah strategi pengajaran dan pembelajaran
yang menggalakkan murid menyertai secara aktif dan interaktif dalam Pengajaran dan
Pembelajaran (PdP).
Selain itu, Elemen Merentas Kurikulum (EMK) diterapkan dalam penulisan buku teks
ini bagi mengukuhkan kemahiran dan keterampilan murid sebagai modal insan yang
berupaya menangani cabaran semasa dan masa hadapan.
Penulisan buku teks ini menyediakan pelbagai maklumat bagi menjanakan pemikiran
murid. Yang berikut merupakan penerangan ikon yang berkaitan dengan nilai tambah
dalam penulisan buku ini:
KBAT
Soalan yang boleh meningkatkan keupayaan, kebolehan dan
kemahiran murid berfikir secara kritis dan kreatif, membuat
penaakulan serta strategi berfikir yang mantap.
Refleksi
Membolehkan murid memberikan maklum balas dan menilai
diri berdasarkan aktiviti dan latihan yang diberikan di samping
pengalaman sedia ada murid.
Info Tambahan
Memberikan maklumat tambahan berkaitan dengan topik yang
dibincangkan untuk mengukuhkan pemahaman murid.
QR Code
Mengandungi maklumat tambahan dalam pelbagai bentuk seperti
laman sesawang, video dan lain-lain. QR Code perlu diimbas
menggunakan gajet semasa bagi mengetahui maklumat yang
terdapat di dalamnya.
AR Code (Augmented Reality)
Mengandungi maklumat tambahan dalam bentuk video dan animasi
bagi menarik minat murid. Teknologi ini menggabungkan dunia maya
dan nyata dalam bentuk 2D dan 3D. Aplikasi AR DBP Pendidikan Moral
Tingkatan 4 boleh dimuat turun daripada aplikasi Play Store
dan aplikasi App Store.
vii

