Page 41 - MODUL PdPR BAHASA MELAYU TINGKATAN 5
P. 41
Mahu atau tidak mahu melakukan (sesuatu perbuatan)
27. Siew Lin mungkin tidak akan datang kerana dia kurang sihat.
28. Mariamah mungkin akan berpindah ke sekolah baharu kerana keluarganya akan berpindah
ke daerah lain.
*Rumus tatabahasa Melayu juga membenarkan gandingan berturutan atau berpasangan dalam binaan
ayat yang menggunakan kata bantu ragam. Sebagai contoh, sila lihat ayat yang berikut ini.
29. harus + mahu
Salmiah harus mahu menunaikan rukun Islam yang kelima pada tahun ini.
30. harus + dapat
Encik Daud harus dapat menjawat Guru Cemerlang kerana mempunyai prestasi yang amat
membanggakan sepanjang tiga tahun lalu.
31. mesti + mahu
Encik Lim mesti mahu menghadiri majlis perjumpaan alumni ke-40 sekolah lamanya kerana
ingin menemui rakan-rakan sekolahnya.
32. mesti + dapat
Munirah mesti dapat mencapai 8A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia kerana dia
rajin mengulangkaji pelajarannya.
Seperkara lagi, ada sesetengah kata bantu ragam yang tidak boleh hadir bersama-sama. Sebagai
contoh, sila lihat ayat yang berikut:
33. Ah Chong hendak mahu makan laksa walaupun tidak berselera. (X)
34. Mohan hendak harus membawa keluarganya ke Bukit Fraser. (X)
35. Hashim hendak mesti menyiapkan tugasan sekolahnya pada hari ini. (X)
Ayat contoh (33 hingga 35) di atas menyalahi rumus tatabahasa Melayu. Oleh hal yang demikian,
pengguna bahasa Melayu baku sentiasa cakna akan hal ini agar dapat menghasilkan ayat yang gramatis.
*Selain itu, kata bantu aspek tertentu boleh hadir bergandingan dengan kata bantu ragam, waima
secara mendahuluinya atau ,mengikutinya. Sebagai contoh, sila lihat ayat yang berikut ini.
Kata Bantu Aspek + Kata Bantu Ragam
36. Pak Husin sedang hendak mengambil wuduk.
37. Razif belum hendak pulang ke rumahnya kerana hendak menghabiskan kerjanya.
Kata Bantu Ragam + Kata Bantu Aspek
38. Hamdiah mesti akan tiba sebentar lagi.
39. Nasser harus sudah makan malam.
Di samping itu, dalam binaan ayat yang merangkumi frasa adjektif, elemen-elemen kata bantu dapat
membantu mendukung pelbagai maksud. Sila lihat ayat contoh yang berikut ini.
39

