Page 40 - BUKU TEKS TAHUN 6
P. 40
Bacaan Luas
Tip Kesihatan
Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa “otak yang cerdas terletak pada
badan yang sihat”. Oleh itu, sekiranya kita hendak menjadi seseorang yang
pintar, kita perlulah memastikan badan kita sentiasa cergas dan aktif.
Bagaimanakah caranya? Banyak cara yang dapat kita lakukan demi
menjaga tubuh agar sentiasa cergas dan aktif. Antara caranya termasuklah
mengeluarkan peluh daripada badan. Berpeluh akan menjadikan tubuh
sentiasa sihat dan mengekalkan suhu badan kita agar sentiasa normal.
Cara yang paling mudah untuk kita mengeluarkan peluh daripada badan
adalah dengan bersenam. Dalam hal ini, aktiviti senaman yang kita lakukan
mampu mengeluarkan peluh daripada badan. Banyak jenis senaman yang
boleh kita lakukan. Contohnya, bersukan, berolahraga, berjoging, berbasikal,
bermain permainan dan sebagainya. Apabila badan berpeluh, secara tidak
langsung pelbagai racun dan toksik akan dikeluarkan melalui liang-liang roma.
Bersenam akan membantu badan kita mengekalkan sel darah putih.
Fungsi sel darah putih di dalam tubuh adalah sebagai penghalang virus dan
bakteria yang dapat memudaratkan kesihatan. Selain itu, dengan bersenam
juga, lemak dan kalori berlebihan akan dibakar. Oleh itu, tubuh akan menjadi
sihat, manakala otak akan menjadi cerdas.
Akhir sekali, jika kita melakukan senaman dengan sistematik dan berkala,
kita dapat menghilangkan stres atau tekanan perasaan. Kita dapat melupakan
seketika masalah yang dihadapi apabila menumpukan perhatian kepada
aktiviti senaman yang dilakukan. Lama-kelamaan, masalah tersebut akan
hilang begitu sahaja.
Kesimpulannya, jika kita mempunyai minda yang sihat, badan kita akan
turut menjadi cergas.
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia
31

