Page 28 - mewarna pelangi
P. 28
“Saya pun begitu jugak. Tiada gunanya kita meninggi diri.
Mendongak ke langit tanpa memandang ke bawah. Manusia tidak kira
kaya atau miskin semuanya sama di sisi Tuhan. Cuma yang
membezakannya ialah takwa dan iman,” celah Khairul pula.
“Ke mana kita?” soal Khairul sebaik-baik sahaja kami keluar dari
Restoran Seri Mutiara.
“Kita ke sana.” Dengan penuh hormat Adi menudingkan ibu
jarinya ke arah kerusi yang terletak di bawah pohon cemara yang
rendang.
Kami pun berjalan menuju ke arah kerusi yang tertulis MAJLIS
DAERAH PORT DICKSON. Adi duduk di sebelah kanan, aku di tengah
manakala Khairul di kiri.
Daun-daun cemara yang bergeseran mengeluarkan irama yang
merdu. Mendayu-dayu. Ini menjadikan suasana pagi ini bertambah
ceria.
Jam di tangan tepat menunjukkan pukul 9:30 pagi. Orang ramai
sudah mula memenuhi pantai Port Dickson. Maklumlah hari Ahad. Nun
di sana kelihatan beberapa orang kanak-kanak sedang bermain ombak.
28

