Page 2 - CER PEN TANGKAI PADI UTK HUMINODUN
P. 2
KEMARAHAN meluap-luap. Nada suaranya tidak lagi menggambarkan dia seorang tua yang
harus dihormati. Apa lagi menjadikan kata-katanya itu daya rangsangan positif. Walau dahi
berkeringat dan matanya pejam celik, namun belum cukup menyedarkan betapa panas matahari
ini mengharuskannya bersabar. Sewajarnya dia perlu meneguk air bukan melancarkan hamburan
maki hamun bagi mengurangkan asakan amarah.
Dia orang tua yang sentiasa menghuru-harakan suasana saat-saat akhir musim menuai. Kulitnya
yang hitam legam itu menjadi petanda kepayahan dan kesungguhannya selama ini. Usianya 70
tahun dan susuk tubuhnya kecil, tetapi tidak ada siapa pun yang menafikan kekuatannya. Dia
pantang dicabar. Dia masih juga terbongkok-bongkok meneruskan pekerjaan tradisi ini.
Menggagahkan diri mengharungi lumpur dari satu musim ke musim lain membanting tulang
empat kerat.
“Orang tua itu sudah gila. Sebelum magavau dia sudah mabuk. Berkelakuan seolah dialah raja.
Dialah yang berjasa.” Ketua Kampung hanya mengangguk. Bukan menyokong anak buah atau
orang tua itu. Tidak jua dia menolak kebenaran orang tua itu atau kesahihan hujah anak buahnya.
Ada tusukan halus yang menjalar dalam sanubari. Terlalu dalam sehingga dia harus berhati-hati
bertutur kata, apa lagi memberi jawapan yang akan di sambut dengan gelak ketawa. Dia perlu
juga berdiam diri barang satu saat untuk berfikir.
Hamburan kata Lacius sudah kedengaran sepuluh tahun lalu. Semakin lama kebenaran semakin
jelas. Gemalai tarian tidak sepadan kepayahan yang tercurah ke bumi. Segalanya sudah berubah.
Matlamat dan prinsip juga jauh terpesong. Demikian juga musim yang bercelaru menghambat
keinginan. Mematikan langkah kaki dan hanya kerana kesedaran hidup harus diteruskan maka
tanah sawah ini masih terus di usahakan.
Dan akhirnya hanya kelihatan ‘orang-orang sawah’ yang longlai di tengah sawah padi.
Itulah gelaran kepada Lacius. Orang tua yang masih juga menggagahkan diri mengusahakan
sawah padi.
Ketua Kampung pun tidak terkata jika Lacius berhujah. Dia sudah lama tidak menginjak kaki ke

