Page 6 - CER PEN TANGKAI PADI UTK HUMINODUN
P. 6
saat akhir hidup.” Ketua Kampung mengintai botol-botol tuak yang masih berada dalam beg
plastik. Demikian juga Lacius. Beg plastik itu benar-benar mengganggu ketenangan mereka.
Ketua Kampung mengurut dada. Lacius tersedu. Sempat meneguk air kosong di depannya.
“Aku kehilangan Huminodun yang tidak mahu berkorban diri untuk aku orang tuanya. Dia sudah
lupa. Aku tidak mampu memberinya jambangan bunga atas kejayaan yang dicapainya.” Air
matanya mengalir. Sedu tangisan seorang tua yang kehilangan amat menyayat hati.
“Mungkin sudah menjadi resam Huminodun akan korbankan dirinya untuk kebaikan semua
orang bukan setakat orang tuanya. Siapa tahu satu hari nanti dia akan kembali dengan ilmu,
menjadi pemimpin bermoral. Huminodun tidak perlukan jambangan bunga yang akan layu dan
tidak mengenyangkan. Cukup sekadar tangkai padi.” Pujuk Ketua Kampung.
“Lihat aku tinggal sendirian di rumah ini. Sawah padi ini menjadi teman yang mengingatkan aku
pada anak-anak. Mengisi waktu yang bagaikan terlalu panjang. Setiap kali magavau, rumah ini
tidak pernah sunyi, tetapi sudah bertahun hanya aku menjadi penunggu di sini. Huminodunku
sudah lama pergi. Aku berharap dia akan kembali.” Lacius tidak dapat berselindung lagi. Sekian
lama dia menyembunyikan kerinduan itu di tanah sawah ini. Dia bukan bimbang siapa akan
mewarisi semua ini tetapi resah bersendirian tanpa teman. Lacius mengalihkan pandangan dari
beg plastik itu. Dia menarik nafas panjang. Tersenyum sayu mengekori bambarayon yang
terbang pulang.
*Menurut cerita lisan suku kaum Dusun, Kinoingan (Dewa) dan isterinya Suminundu
mengorbankan anak gadisnya Huminodun untuk menyelamatkan suku kaum Dusun dari
kebuluran. Kononnya sebahagian mayat Huminodun mengeluarkan benih padi maka wujudlah
kepercayaan bahawa padi mempunyai semangat yang di beri nama sebagai bambazon.
Glosari
Magavau: Pesta Kaamatan
Koruk: Ikan puyu
Jalak: Ikan haruan

