Page 2 - BIBIK
P. 2
INILAH masa yang paling tepat. Inilah masa yang paling benar. Tiba-tiba hatinya berdebar-
debar. Apakah benar pilihanku? Bibik masih maju mundur. Bungkusan plastik hitam yang
dibimbit digenggam erat. Di dalamnya ada sepasang pakaian dan kain tebal. Dia melangkah
penuh hati-hati. Langkah menjinjit. Langkah hujung jari kaki menapak ke lantai. Tapak kaki
tidak menyentuh lantai. Biar langkah itu tidak didengar oleh sesiapa. Dia menyentuh balutan di
dahi. Sakit. Kesakitan itu menguatkan tekad Bibik. Inilah masa paling tepat.
“Bibikkk ...!” suara Puan Nyonya beralun dari ruang tengah. Sewaktu ditinggalkan tadi, Puan
Nyonya pejam mata tersadai di sofa. Mungkin keletihan. Alunan suara keras Puan Nyonya itu
mengesahkan dia tidak tertidur. Lalu, ini bukanlah masa yang paling tepat, bisik hati Bibik.
Bukan sekali. Bukan dua kali. Malah beberapa kali Bibik sebenarnya membuat perhitungan yang
maju mundur. Setakat ini tidak pernah tepat. Dia sudah nekad. Tapi, bila memikirkan
kemungkinan-kemungkinan yang menggodam ketakutan, dia menarik keputusan itu.

