Page 6 - BIBIK
P. 6
hidung ketika dilanyah mop. Hampir terlonjak isi perut Bibik ketika membawa kotoran itu ke
bilik air. Bibik sempat menjeling ke bilik sewaktu melewati pintu yang terbuka. Puan Nyonya
sudah terbaring di katil besi tempat Bibik selalu tidur. Biarlah Puan Nyonya nyenyak. Mudahlah
Bibik bertindak.
“Inilah masa yang paling tepat,” bisik hati Bibik. Jika ditunggu, sebentar lagi tentu Tuan Tauke
akan balik. Tuan Tauke itu akan kunci pintu pagar. Bibik sudah tahu benar kebiasaan Puan
Nyonya. Dia tidak mengunci pintu pagar rumah. Tuan Tauke yang balik kemudian akan
menguncinya. Anjing hitam besar yang berbaring berhampiran pintu itu akan menyalak sapa
setiap orang asing yang melewati hampir pintu pagar itu.
Setahun lalu, ketika mula menjejakkan kaki di rumah agam ini, anjing hitam itulah yang
diperkenalkan oleh Tuan Tauke. Anjing itu meronta-ronta mahu melepaskan ikatan rantai. Mahu
menerkam Bibik. Menyalak hingga berdesing telinga Bibik. Antara gentar terperanjat dan rasa
takut, Bibik menghampiri anjing itu. Mengelus-ngelus hangat kepala dan geli tubuh anjing itu.
Kata orang, semakin takut kita pada anjing, semakin berani anjing itu kepada kita.
Sungguh, mudah menjinakkan anjing garang itu. Lebih sukar menjinakkan Puan Nyonya dan
Tuan Tauke. Puan Nyonya memberi tugas rutin Bibik memandi dan membersihkan tempat
tinggal anjing itu. Anjing itu tidak menyalak ketika Bibik keluar masuk rumah yang
ditungguinya. Lebih tunak lagi kalau Bibik mencampakkan tulang ba atau tulang apa-apa kepada
anjing garang itu.

