Page 129 - JALAN PULANG
P. 129
Diam. Tok Ketua sebaliknya menyucuhkan api paip yang melekat
di bibirnya. Adnan memerhatikan sahaja gelagatnya itu.
Angin dari arah pergunungan tiba-tiba bertiup kencang dan
menerobos masuk ke dalam rumah papan itu. Bunyi ayam, itik dan
kambing peliharaan Tok Ketua jelas kedengaran memecah suasana. Tok
Ketua kemudiannya lalu menghembus keluar asap paip. Nampak
berkepul-kepul memutih memenuhi ruang tamu rumah itu.
“Nan, aku berpegang pada pepatah kerbau berpegang pada tali
manusia berpegang pada janji. Aku dah beri sepenuh kepercayaan pada
Munir untuk mengusahakan tanah tu. Dia baru mula. Takkan aku nak
suruh dia berhenti.”
“Jangan tolak tuah, tok. Ini untuk kesenangan tok dan penduduk
kampung ni jugak.”
“Dalam dunia ni tak ada manusia yang hendak hidup susah.
Semua nak hidup senang. Kau silap, Nan. Aku bukan jenis pemimpin
yang mementingkan kemewahan dan diri sendiri. Biar susah senang
bersama dengan anak-anak buah.”
129

