Page 3 - MODUL_PELAKSANAAN_ORIENTASI_PEMUGARAN_EMOSI_MURID_KEBIASAAN_BAHARU
P. 3
1.1 PENGENALAN
Modul ini disediakan sebagai rujukan kepada pentadbir serta guru di sekolah tentang pengurusan
sekolah pada hari pertama persekolahan dengan mengambil kira langkah-langkah bagi
mengawal penularan jangkitan penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) serta memastikan murid
berasa tenang dan selesa dengan kebiasaan baharu. Selain itu, ianya bertujuan untuk :
1.1.1 menyemak dan mengenal pasti kesediaan psikososial murid bagi menghadapi
persekolahan semula selepas Arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah
Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
1.1.2 mengetahui kesediaan dan tahap emosi murid bagi menghadapi sistem persekolahan
sesuai dengan kebiasaan baharu.
1.1.3 membantu murid menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu di sekolah
1.2 LATAR BELAKANG
Panduan Pelaksanaan Modul Orientasi Pemugaran Emosi Murid ini dibina sejajar dengan
kehendak garis panduan pengurusan pembukaan semula sekolah yang dikeluarkan oleh
Kementerian Pendidikan Malaysia. Ia merupakan satu panduan kepada pentadbir dan guru bagi
melaksanakan sesi persekolahan pada hari pertama pembukaan semula sekolah.
Modul ini merangkumi Soal Selidik Kesediaan Psikologi Murid (ujian pra / pos), Sejarah
Pandemik Covid-19 di dunia, cara berhadapan dengan kebiasaan baharu, pengurusan emosi,
pengurusan stress, kerohanian, dan halatuju murid. Harapannya, selepas sehari mengikuti
orientasi persekolahan semula selepas murid direhatkan di rumah, mereka akan kembali
bersemangat meneruskan persekolahan dan seterusnya bersedia mengikuti sesi pengajaran dan
pembelajaran bagi menghadapi peperiksaan.
Setiap murid di Malaysia perlu dibantu emosi dan sosial bagi membolehkan mereka
mengupayakan dan membiasakan diri menghadapi kebiasaan baharu dalam kehidupan
seharian. Seterusnya ia berupaya mengembalikan semangat dan keyakinan mereka untuk
meneruskan persekolahan dan bersosial dengan rakan mereka sesuai dengan Tema Hari Guru
2020 iaitu “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu”.
Melalui modul ini juga, murid dapat mengenal pasti kesediaan psikososial mereka dan
seterusnya menyesuaikan diri dengan kaedah belajar secara baharu.

