Page 5 - PBD Plus BM T4 (EG)
P. 5
Bahasa Melayu Tingkatan 4 Tema 1
Kemahiran Membaca
SP 2.1.1 Membaca teks syarahan dan pidato dengan sebutan dan intonasi yang betul, nada yang sesuai serta kepantasan yang wajar.
Baca teks syarahan di bawah ini dengan sebutan dan intonasi yang betul, nada yang sesuai,
serta kepantasan yang wajar.
Salam ukhuwah dan salam cinta nusa. Sekalung apresiasi buat barisan kehakiman yang erat mendakap
panji keadilan, guru-guru, rakan-rakan, dan hadirin sekalian.
Malaysia merupakan sebuah negara yang merdeka, berdaulat, dan bermaruah. Kini, Malaysia mampu
berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat
dan Jepun. Pastinya di sebalik tirai gah Malaysia mengukir nama, ada wira yang telah melakar kejayaan
gemilang membuatkan warga dunia membuka mata tentang kebolehan rakyat Malaysia. Jadi, mauduk
bicara saya pada pagi ini ialah ‘Wira Negara Inspirasi Pemuda’.
Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd
Hadirin sekalian,
Di Malaysia, pembangunan fizikal dapat dibuktikan dengan adanya bangunan pencakar langit
dan kecanggihan teknologi. Kini, kerajaan memberikan fokus kepada pembangunan modal insan bagi
melahirkan wira dalam pelbagai bidang. Persoalannya, siapakah wira yang menjadi inspirasi kepada
generasi Malaysia?
Hadirin yang dihormati,
Selepas lebih separuh abad Malaysia mencapai kemerdekaan, impian menjadi realiti. Sheikh Muszaphar
Shukor telah berjaya mengubah persepsi negatif masyarakat apabila beliau diiktiraf sebagai angkasawan
Malaysia pertama pada tahun 2006. Beliau berjaya membuktikan rakyat Malaysia juga mampu berjaya,
seperti Yuri Gagarin dan Neil Amstrong. Pencapaian beliau telah menjadi inspirasi kepada golongan muda
Malaysia yang mula tertarik untuk menceburi bidang aeroangkasa.
Selain itu, kejayaan Malaysia dalam pelbagai bidang sukan juga menjadi kebanggaan kita. Sebagai
contohnya, Datuk Lee Chong Wei menjadi juara badminton dunia selama sedekad. Beliau telah membuktikan
anak Malaysia mampu mengalahkan pemain dari negara kuasa besar badminton dunia. Nama seperti Eddy
Chong dan Punch Gunalan juga merupakan anak Malaysia yang pernah menjadi inspirasi seluruh rakyat
Malaysia.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Dalam bidang fesyen juga turut lahir permata yang sangat terkenal pada peringkat antarabangsa. Kini,
kita dapat berbangga dengan kejayaan Dato’ Jimmy Choo yang terkenal kerana fesyen kasut rekaannya
diminati oleh golongan bangsawan seantero dunia dan pernah menjadi kasut pilihan mendiang Lady
Diana. Mitos bahawa rakyat Malaysia tidak mungkin berjaya dalam bidang rekaan fesyen lebih-lebih lagi di
bumi asing terpadam dengan kejayaan beliau.
Konklusinya, kita harus berbangga terhadap kejayaan wira-wira yang menjadi inspirasi. Jelas
menunjukkan Malaysia juga mampu mendabik dada kerana mempunyai figura terkemuka dalam pelbagai
bidang. Rakyat Malaysia diseru supaya tidak lagi menjadi katak di bawah tempurung kerana kejayaan
bukan terletak pada sesuatu bangsa tetapi kejayaan terletak pada usaha dan kegigihan seseorang. Bak kata
pujangga, kita harus berusaha untuk menjadi yang pertama, yang terhebat, dan yang tiada tandingnya
dalam segala bidang.
Sebagai akhir ungkap bicara, kita belia harapan negara. Oleh itu, kitalah yang harus menjadi wira
menginspirasikan anak watan generasi akan datang supaya lahir generasi Malaysia yang hebat dan
terbilang.
Sekian terima kasih.
Kuiz Praktis Ekstra
Wira Negara Tema 1
© Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd. 2 TAHAP PENGUASAAN 1 2 3 4 5 6

