Page 30 - Sukses Model Karangan 2022 SPM
P. 30
Bahasa Melayu SPM Bab 11 Peribahasa / Cogan Kata
mempunyai masa untuk menyelami perasaan anak-anak. Lebih mendukacitakan apabila
terdapat ibu bapa yang menggunakan ruang masa yang terhad itu untuk mencari salah
anak-anak. Lantaran itu, anak-anak berasa tertekan kerana semua yang dilakukan oleh
mereka dianggap salah oleh kaca mata ibu bapa mereka. Dengan itu, syurga yang
diharapkan tidak kunjung tiba, sebaliknya rumah lebih dianggap sebagai neraka oleh
mereka. Bagi menghilangkan tekanan tersebut, remaja melepak dengan rakan-rakan yang
senasib dengan mereka. Keadaan ini harus dibaiki segera oleh ibu bapa kerana anak-
anak mengharapkan sentuhan, belaian, dan kasih sayang ibu bapa. Seharusnya ibu bapa
memanfaatkan masa yang ada untuk memahami dan berinteraksi dengan anak-anak.
Keadaan ini akan memperkukuh institusi keluarga. Anak-anak harus dididik dengan nilai-
nilai mulia, bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Selain itu, slogan “rumahku, syurgaku” penting sebagai asas membina kebahagiaan
dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Kajian mendapati anak-anak yang lahir dan
membesar dalam keluarga bahagia berpotensi besar untuk mencapai kejayaan dalam hidup.
Kejayaan golongan ini penting sebagai aset untuk melonjakkan kemajuan negara dalam
pelbagai bidang. Sebaliknya, anak-anak yang lahir dan membesar dalam keluarga yang
porak-peranda akan mencetuskan pelbagai masalah dalam masyarakat. Golongan inilah
yang menjadi pelumba haram, penjenayah jalanan, dan terlibat dengan penagihan dadah.
Bagi menangani isu gejala sosial yang bagaikan tiada penghujungnya ini, ibu bapa harus
memperkukuh institusi keluarga semula berasaskan slogan, “rumahku, syurgaku”. Dalam
konteks ini, anak-anak harus diberikan perhatian, bimbingan, dan pendidikan agama agar
mereka mempunyai jati diri yang utuh. Keutuhan jati diri menyebabkan mereka tidak
mudah terpengaruh oleh gejala sosial yang dapat membinasakan masa depan mereka.
Dalam hal ini, kesedaran dan pendidikan yang diberikan oleh ibu bapa menjadi benteng
bagi mengelakkan gejala sosial dalam kalangan anak-anak.
Di samping itu, slogan “rumahku, syurgaku” penting diijayakan kerana cabaran hidup
remaja sekarang semakin besar. Mereka berhadapan dengan tekanan dalam pelajaran,
pergaulan, dan pengaruh Internet yang begitu dahsyat. Ada ketikanya remaja bagaikan
berputus asa dalam menghadapi cabaran hidup yang amat berat dalam usia yang agak
mentah. Dalam hal ini, sifat prihatin dan penyayang ibu bapa dapat memberikan kekuatan
kepada remaja untuk menghadapi cabaran dalam kehidupan mereka. Ibu bapa tidak
harus membiarkan anak-anak bertindak sendirian, apatah lagi membiarkan anak mereka
dipandu dan dibimbing oleh rakan yang tidak menentu kerana hal ini dapat mengundang
padah kepada anak-anak. Remaja yang diberikan kasih sayang dan perhatian oleh ibu
bapa terutama pada ketika mereka menghadapi tekanan atau cabaran akan menjadi
lebih bermotivasi, tenang, dan yakin akan keupayaan mereka. Malahan, apabila mereka
gagal atau jatuh dalam mencapai sesuatu cita-cita, ibu bapa menjadi insan terawal untuk
memberikan inspirasi untuk mereka bangkit dan terus melangkah. Perkara ini hanya dapat
dibentuk menerusi keluarga yang bahagia.
322

