Page 27 - Sukses Model Karangan 2022 SPM
P. 27
Bahasa Melayu SPM Bab 11 Peribahasa / Cogan Kata
Karangan Mantap
Bagi setiap individu di atas muka bumi ini, ilmu pengetahuan perkara yang paling penting
dalam menjalani hidup yang sempurna. Ilmu pengetahuan bukan sahaja menjurus kepada
aspek pelajaran, bahkan juga berkaitan dengan pengetahuan dan kemahiran tentang pelbagai
bidang kehidupan. Individu yang berjaya tidak semestinya berpelajaran tinggi tetapi berilmu
untuk menjalani hidup yang penuh dengan cabaran dan dugaan. Oleh hal yang demikian, ibu
bapa perlu menanam semangat cinta akan ilmu kepada anak-anak supaya anak-anak terdidik
untuk menimba ilmu bagi mendapatkan kehidupan yang sempurna. Pelbagai kaedah harus
dipraktikkan oleh ibu bapa bagi mencapai objektif ini.
Pertamanya, ibu bapa mestilah menjadi suri teladan anak-anak. Sejak kecil, anak-anak
didampingi oleh ibu bapa di rumah, maka sudah pasti sifat dan kelakuan ibu bapa menjadi
contoh terdekat bagi anak-anak. Dalam usaha ibu bapa memupuk semangat cinta akan ilmu
pengetahuan kepada anak-anak, mereka haruslah menunjukkan teladan yang baik supaya
menjadi ikutan cahaya mata mereka. Antaranya ialah ibu bapa membaca surat khabar setiap
hari dan membaca bahan bacaan lain, seperti buku dan majalah beberapa kali dalam sebulan.
Sekiranya perkara ini menjadi amalan ibu bapa, pastilah akan menjadi budaya anak-anak
kelak kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya.
Seterusnya, ibu bapa janganlah lokek mengeluarkan belanja untuk anak-anak menimba
ilmu pengetahuan. Wang ringgit dapat dicari, tetapi ilmu pengetahuan yang ditimba oleh
anak-anak tidak dapat dijual beli. Malahan, ilmu yang dimiliki itu dapat melengkapkan
kehidupan anak-anak. Dalam hal ini, ibu bapa mestilah sanggup memperuntukkan sebahagian
wang mereka khas untuk pembelajaran anak-anak. Misalnya, ibu bapa membelikan anak-anak
buku yang digemari, peralatan muzik, pemainan, atau alat-alat kemahiran yang lain. Hal
ini sudah tentu dapat mengasah minat dan bakat anak-anak dan sesuai dengan peribahasa,
kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya
Peranan ibu bapa yang lain adalah membawa anak-anak mengunjungi tempat-tempat
dan majlis ilmu. Apabila mempunyai masa terluang, ibu bapa wajar menghabiskan masa
lapang mereka dengan membawa anak-anak ke tempat dan majlis yang dapat melonjakkan
peningkatan ilmu anak-anak. Antara lokasi tersebut ialah perpustakaan, pameran, karnival,
dan ekspo yang berkaitan dengan pelajaran anak-anak. Misalnya, karnival kerjaya, ekspo
kesihatan, pameran antidadah, dan sebagainya. Dengan usaha tersebut, anak-anak mendapat
pendedahan tentang pelbagai perkara yang berkaitan. Hal ini juga selanjutnya menyemai
kecintaan anak-anak terhadap ilmu pengetahuan.
Di samping itu, ibu bapa seharusnya memberikan dorongan dan perangsang kepada
anak-anak dalam pembelajaran. Mereka digalakkan agar menghantar anak yang meminati
bidang tertentu ke institusi pendidikan yang berkaitan. Bagi ibu bapa yang mempunyai anak
yang berminat dan berpotensi dalam bidang sukan, mereka boleh mendaftarkan anak mereka
319

