Page 45 - Buletin JSKM 2021
P. 45

44




                                               BUBUR PEDAS SARAWAK
                                                    Siti Balqis Mahlan










                Bubur pedas Sarawak merupakan di antara makanan yang popular di Sarawak terutamanya
                pada  bulan  Ramadan.  Namun,  ianya  juga  boleh  dihidang  pada  bila-bila  masa  dan  sangat
                digemari  oleh  pelbagai  lapisan  masyarakat  di  Sarawak.  Sebelum  memasak  hidangan  ini,
                bumbu bubur pedas perlulah disediakan terlebih dahulu. Ianya boleh dibuat sendiri ataupun
                dibeli di mana-mana kedai, pasar atau pasar raya di Sarawak. Bagi yang sukar mendapatkan
                bumbu  bubur  pedas  di  kedai,  ianya  boleh  didapati  dengan  pembelian  secara  dalam  talian
                contohnya Shopee atau Lazada.

                Bumbu bubur pedas ini menggunakan pelbagai ramuan seperti beras, kelapa parut, serai, cili
                kering, kunyit hidup, halia, lengkuas, bawang merah, bawang putih, ketumbar, jintan putih,
                jintan manis, serbuk kari dan rempah 4 sekawan. Kesemua bahan-bahan ini perlu digoreng
                tanpa menggunakan minyak dan ianya digoreng secara berasingan. Terdapat juga sesetengah
                orang  menggunakan  ketuhar  atau  alat  penggorengan  udara  (air  fryer)  untuk  menggoreng
                bahan-bahan  ini.  Seterusnya,  bahan-bahan  yang  telah  digoreng  ini  perlulah  dikisar  dengan
                memastikan ianya tidak terlalu halus. Bumbu bubur pedas yang telah siap akan digunakan
                untuk proses masakan yang seterusnya. Sukatan penggunaan bumbu bubur pedas bagi setiap
                masakan adalah mengikut citarasa masing-masing.

                Proses seterusnya ialah dengan memasak bumbu pedas ini dengan pelbagai bahan lain yang
                terdiri dari sumber tenaga, protein, kekacang dan sayur-sayuran. Ini menjadikan hidangan ini
                berkhasiat dan ianya agak berlainan jika dibandingkan dengan bubur lain yang biasa kita buat.
                Antara  campuran  bahan-bahan  masakan  ini  ialah  santan,  daun  kunyit,  daun  singkel/pucuk
                bebuas,  jagung  muda,  sayur  pucuk/tauhu  kering,  sayur  kacang  panjang,  cendawan  hitam
                kering, kimcham kering, kacang tanah dan sayur midin. Manakala, bahan tumisan yang perlu
                dikisar  ialah  bawang  besar,  bawang  putih,  halia,  udang  kering  dan  cili  kering.  Ianya  juga
                ditambah dengan daging atau perut lembu dan udang untuk menjadikannya lebih enak dan
                lazat.  Bahan-bahan  lain  seperti  lobak,  kentang,  daun  kesum  dan  keledek  juga  boleh
                dimasukkan ke dalam hidangan mengikut citarasa masing-masing. Jika ada kesukaran untuk
                mendapatkan sayur midin ianya boleh digantikan dengan sayur lain seperti pucuk paku. Selain
                pucuk paku, sayur kubis juga boleh digunakan sebagai gantian kepada sayur midin.
   40   41   42   43   44   45   46   47   48   49   50