Page 206 - Buku Teks Geografi T5_Neat
P. 206
b) Membina benteng pencegah hakisan
Penerokaan kawasan berbukit boleh menyebabkan risiko hakisan tanah berlaku. Sehubungan
dengan itu, pembinaan benteng pencegah hakisan perlu dilakukan terlebih dahulu
sebelum aktiviti pembinaan kawasan perumahan dilakukan. Benteng pencegah hakisan
berperanan sebagai penghalang dan peneguh struktur tanah yang mengalami perubahan
akibat kegiatan ekonomi yang dilakukan.
c) Menggunakan penutup kanvas di kawasan cerun
Hakisan tanah dan kejadian tanah runtuh boleh dikurangkan dengan meletakkan penutup
kanvas di kawasan cerun yang berisiko. Penerokaan kawasan cerun sememangnya tidak
dapat dielakkan dalam proses membina kawasan perumahan. Namun, penggunaan penutup
kanvas di kawasan cerun pada peringkat awal dapat mencegah hakisan tanah. Pencegahan
awal diyakini dapat mengurangkan risiko berlakunya kejadian tanah runtuh.
KESIMPULAN
Kawasan kajian mempunyai potensi pelbagai kegiatan pertanian yang melibatkan sektor
primer, sektor sekunder dan sektor tertier. Potensi tersebut telah memberikan banyak manfaat
kepada penduduk setempat seperti membuka peluang pekerjaan, memajukan dan meningkatkan
kemudahan infrastruktur dan mengatasi masalah permintaan kawasan kediaman.
Namun, kegiatan tersebut secara tidak langsung turut memberikan kesan negatif terhadap
alam sekitar dan manusia seperti kejadian hakisan tanah dan tanah runtuh, kejadian banjir
kilat dan pencemaran.
Kesan yang berlaku dapat dikurangkan sekiranya semua pihak dapat bekerjasama dalam
menyelesaikan masalah yang wujud. Proses melebar dan mendalamkan sungai dapat mengatasi
kejadian banjir kilat. Pembinaan benteng pencegah hakisan dan penggunaan penutup kanvas
di kawasan cerun dapat mengurangkan kesan yang berlaku di kawasan pembinaan.
RUJUKAN
Ahmad Ridzuan Bin Abd Rahman, Rajini Gauri Muthusamy & Pau Anak Utek.(2018).
Geografi Tingkatan 3. Johor Bahru: IMS Books Trading Sdn. Bhd.
Ismail Ahmad, Sulong Mohamad & Chan, M.L.(2013).Geografi Tingkatan 5. Cheras:
Pustaka Sistem Pelajaran Sdn. Bhd.
Kamaruzaman bin Yusoff, Mohamad Khairun Fitri bin Ahmad & Mohd Nazron bin
Zakaria.(2020).Geografi Tingkatan 5. Cheras: Era Visi Sdn. Bhd.
7
198

