Page 164 - MPU3113 - Hubungan Etnik
P. 164
TOPIK 6 PERMUAFAKATAN POLITIK DAN HUBUNGAN ETNIK 147
kelompok etnik tertentu sejak penghujung tahun 1950an, namun pada masa yang
sama, usaha untuk memupuk perpaduan etnik melalui kerjasama politik turut
dijalankan sehingga kini.
Ketegangan etnik sekali lagi dirasai oleh rakyat Malaysia ketika berlaku
peristiwa Kampung Medan pada 12 Mac 2001. Walau bagaimanapun, atas usaha
gigih yang dijalankan oleh pelbagai pihak dengan melalui berbagai-bagai saluran
seperti pembangunan politik, negara kita pada hari ini bukan sahaja meraih
kestabilan politik, malah sedang menuju ke arah penyatuan dan keharmonian
etnik. Keadaan ini membantu untuk mencapai perpaduan penduduk berbilang
kaum dan meletakkan landasan asas bagi Malaysia untuk menuju ke arah
pembentukan 1Malaysia yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Malaysia,
DatoÊ Seri Mohammad Najib Tun Abdul Razak dalam hasrat beliau untuk
melahirkan sebuah negara Malaysia yang unggul dan disanjung tinggi.
Maka, topik ini akan menghuraikan hubungan antara etnisiti dengan
pembangunan politik di Malaysia. Dalam konteks sejarah, langkah-langkah
memupuk hubungan etnik yang harmonis secara formal telah dilaksanakan
menerusi institusi dan tindakan politik seperti politik berasaskan etnisiti sama
ada berasaskan intra-etnik atau inter-etnik yang mendokong perkembangan
politik Malaysia. Perkembangan politik etnik kepartian di Malaysia bertitik tolak
daripada kesedaran dan modenisasi yang berlaku dalam politik.
6.1 KONSEP MODENISASI DAN
PEMBANGUNAN POLITIK
Konsep modenisasi merujuk kepada proses transformasi atau perubahan
berencana dalam segala aspek kehidupan masyarakat. Modenisasi mengandungi
dua aspek kehidupan masyarakat, iaitu pembangunan ekonomi dan pembangunan
politik. Pembangunan ekonomi dan politik merupakan perubahan berencana
yang melibatkan perubahan dalam aspek tertentu yang membawa peralihan
daripada bentuk ekonomi dan politik yang lama (tradisional) ke arah baharu
atau moden. Matlamat pembangunan politik adalah bertujuan untuk pembinaan
negara bangsa. Negara bangsa pula merupakan sebuah wilayah yang
mempunyai sempadan, pemerintahan (kerajaan) dan warganegara (bangsa).
Negara itu harus terbentuk daripada satu bangsa, atau suatu bangsa harus
membentuk suatu negara. Malaysia perlu mempunyai bangsanya sendiri iaitu
bangsa Malaysia. Pembinaan negara bangsa dapat dicapai melalui beberapa
kaedah yang bersifat top-down seperti penghayatan ideologi negara, penerapan
dasar awam yang ditentukan oleh kerajaan dan pemupukan semangat
nasionalisme melalui simbol dan ritual negara. Pembangunan politik juga
turut melibatkan perubahan sistem politik masyarakat. Pembangunan politik
Copyright
Copyright © Open University Malaysia (OUM)© Open University Malaysia (OUM)

