Page 159 - MPU3113 - Hubungan Etnik
P. 159
142 TOPIK 5 PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN DARI ASPEK HUBUNGAN ETNIK
Rasional Perkara 153, mengenai kedudukan istimewa orang Melayu dan
bumiputera Sabah dan Sarawak sebagaimana berikut:
(a) Mengambil kira semangat persefahaman, toleransi, berkongsi kuasa dan
sedia berkorban dalam kalangan orang Melayu dan bukan Melayu ketika
penggubalan perlembagaan; dan
(b) Inti pati daripada kontrak sosial yang melibatkan penawaran dan
permintaan antara penduduk Melayu dan bukan Melayu sebelum merdeka.
Kedudukan istimewa Melayu, bumiputera Sabah dan Sarawak yang terkandung
dalam Perkara 153 Perlembagaan Malaysia khususnya menyentuh tiga perkara
iaitu:
(a) Perkhidmatan Awam
Perlembagaan menyatakan bahawa Yang Di-Pertuan Agong
bertanggungjawab untuk menentukan rizab bagi orang Melayu dan
bumiputera Sabah dan Sarawak dengan memperuntukkan kadar bilangan
jawatan dalam perkhidmatan awam Persekutuan. Namun, layanan yang
adil mesti diberikan kepada semua kaum dari segi kenaikan pangkat, gaji
dan kebajikan yang lain. Rasional merizabkan bilangan orang Melayu dan
bumiputera Sabah dan Sarawak ialah kerana pada masa penjajahan dan
awal merdeka sangat sedikit orang Melayu dan kaum bumiputera yang lain
yang berpeluang menganggotai perkhidmatan awam.
(b) Ekonomi
Perkara 153 wajar digunakan untuk mencapai tujuan memperbetulkan
ketidakseimbangan ekonomi antara orang Melayu dan bukan Melayu yang
wujud kerana dasar ekonomi penjajah. Faktor pembahagian kekayaan dan
agihan pendapatan yang tidak adil dan seimbang menjadi faktor utama
yang mempengaruhi hubungan etnik.
(c) Pendidikan
Sistem pendidikan penjajah mengekalkan orang Melayu dan bumiputera
Sabah dan Sarawak dalam kemiskinan dan tercicir dalam kemajuan
pendidikan. Namun begitu, kedudukan istimewa tentang pendidikan
Melayu dan bumiputera diwujudkan dengan tidak menghapuskan sekolah
Cina dan Tamil. Toleransi kaum juga menyebabkan pemberian pinjaman
pendidikan diberikan kepada semua kaum menerusi Perbadanan Tabung
Pendidikan Tinggi Negara untuk membiayai kos pendidikan mereka.
Copyright © Open University Malaysia (OUM)© Open University Malaysia (OUM)
Copyright

