Page 19 - MPU3113 - Hubungan Etnik
P. 19
2 TOPIK 1 HUBUNGAN ETNIK DAN PEMBINAAN NEGARA BANGSA
Keadaan kedua pula ialah bangsa tanpa negara (state without nation). Terdapat
beberapa bangsa tanpa negara dan mereka menuntut bangsa mereka untuk
bernegara dan mempunyai autonomi sendiri. Misalnya, kita dapat lihat bangsa
Melayu Patani di Selatan Thailand. Bangsa Melayu Patani dahulu merupakan
sebuah kerajaan yang berautoriti sendiri. Akan tetapi akibat daripada
penjajahan, maka Patani diserahkan kepada Siam (Thailand) sedangkan, bangsa
Melayu Patani adalah beragama Islam dan berbudaya Melayu. Justeru, wujud
konflik apabila mereka merasakan bahawa mereka bukan sebahagian daripada
bangsa Thailand yang berbudaya Thai dan beragama Buddha. Tambahan lagi,
muncul gerakan dalam kalangan bangsa Melayu Thailand yang cuba untuk
membebaskan diri daripada negara bangsa Thailand yang dibina. Begitu juga
halnya dengan bangsa Kurdis yang bertapak di utara Iraq. Bangsa ini berjaya
membentuk wilayah autonomi Kurdistan tetapi negara Kurdistan tidak diiktiraf
dalam peta dunia.
Keadaan negara bangsa yang dibina seterusnya ialah negara tanpa bangsa
(nation without state). Senario ini berlaku pada negara apabila kewujudan
sesebuah negara berlaku dan diperakui kedaulatannya, tetapi tidak jelas dari segi
identiti bangsa yang dibina. Kewujudan negara sebegini boleh dirujuk dalam
konteks Malaysia. Malaysia lahir sebagai sebuah negara yang terdiri daripada
pelbagai bangsa atau ras dengan setiap etnik berkenaan mengekalkan identiti
etnik masing-masing. Namun begitu, aspek ini merupakan keunikan yang ada
pada Malaysia dari segi pembinaan negara. Dalam topik pertama ini, kita ingin
melihat dan memahami pembinaan negara bangsa Malaysia.
1.1 HUBUNGAN ETNIK DAN PEMBINAAN
NEGARA BANGSA
Hubungan etnik yang harmonis merupakan kunci pembinaan negara bangsa.
Dalam konteks Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik, mustahil negara
ini dapat dibina jika hubungan etnik tidak dapat diuruskan dengan baik. Urusan
berkaitan pembinaan negara bangsa ialah proses membina tamadun. Pembinaan
negara bangsa memerlukan perhatian terhadap dua perkara iaitu, kejayaan
menguruskan:
(a) Keterbatasan (Scarcity)
Menguruskan keterbatasan ialah kunci kejayaan kerajaan untuk
menguruskan sumber yang terhad sama ada dari aspek bahan mentah atau
sumber ekonomi. Kejayaan ini mendorong kemajuan dan pembangunan.
Sementara itu, menguruskan kesepaduan sosial (solidariti) amat berkait
rapat dengan proses pembinaan negara bangsa.
Copyright © Open University Malaysia (OUM)© Open University Malaysia (OUM)
Copyright

