Page 20 - MPU3113 - Hubungan Etnik
P. 20
TOPIK 1 HUBUNGAN ETNIK DAN PEMBINAAN NEGARA BANGSA 3
(b) Kesepaduan Sosial (Solidarity)
Kejayaan menguruskan kesepaduan sosial ialah kunci penting dalam
mewujudkan kestabilan. Kejayaan kerajaan dalam menguruskan
keterbatasan dan kesepaduan sosial menjadi elemen penting dalam
pembinaan negara bangsa.
1.1.1 Konsep Negara Bangsa
Pembinaan negara bangsa bukan konsep yang baharu, tetapi ia telah lama
diperkatakan. Konsep negara bangsa merupakan kesan penting lanjutan
daripada pembinaan tamadun. Konsep ini bermula di Eropah. Ia bertitik tolak
daripada kelahiran ras tertentu atau etnik tertentu. Bermula daripada konsep
etnik, lahir konsep bangsa yang menggambarkan identiti yang besar dan menuju
ke arah satu aspek iaitu negara. Menurut Abdul Rahman Embong (2001), konsep
negara bangsa di Eropah bermula apabila lahirnya kelompok bangsa yang
menentang kuasa feudal dan proses pembentukan sistem baru yang dipanggil
kapitalis. Kejayaan kapitalis membolehkan mereka berkuasa dan membentuk
sebuah negara moden yang mana entiti negara ialah mempunyai sempadan atau
wilayah tertentu dan juga adanya bangsa tertentu yang mendukung negara
tersebut. Misalnya di Eropah, bangsa Inggeris muncul lebih awal sebelum
lahirnya bangsa Eropah dan negara England yang moden.
Konsep negara bangsa ialah dua perkataan yang berbeza tetapi mempunyai
hubungan antara satu sama lain. Negara merujuk pada sebuah masyarakat
yang mendiami kawasan tertentu dan adanya kerajaan yang memerintah.
Sementara itu, bangsa merujuk pada sekumpulan manusia dalam satu ikatan
ketatanegaraan (Mahayuddin Hj. Yahaya, 1998). Godwin dan Wahlke (1997),
mendefinisikan negara bangsa sebagai, „... one nation in the area covered by the
state to include most of the people who consider themselves part of that national
culture‰.
Justeru, dalam konteks Malaysia, kita dapat katakan bahawa negara bangsa
sebagai sekumpulan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai etnik, agama
dan budaya mendiami sempadan politik tertentu. Mereka mengamalkan sikap
toleransi dan bersefahaman dan kemudian berlakunya proses akulturasi dan
asimilasi dalam suasana hubungan etnik yang harmoni melibatkan pelbagai
kaum.
Pembentukan negara bangsa di Malaysia melibatkan proses dan perjalanan
sejarah yang panjang. Walaupun Malaysia telah merdeka lebih 56 tahun, tetapi
apa yang kita bentuk ialah sebuah negara dan bukannya sebuah negara bangsa.
Menurut Abdul Rahman Embong (2001), apabila Malaysia diisytiharkan merdeka
pada 31 Ogos 1957, apa yang lahir ialah sebuah negara dan bukannya sebuah
Copyright © Open University Malaysia (OUM)© Open University Malaysia (OUM)
Copyright

