Page 6 - Buku Program Mesy Agung PIBG Ke-29 2019
P. 6
Tuan-Tuan, Puan-Puan Yang Dihormati Sekalian
Oleh hal yang demikian, hubungan dan kerjasama antara institusi keluarga
dan institusi sekolah, hubungan antara ibu bapa dan guru-guru perlu dipererat dan
diambil berat. Terleka atau terlalai salah satu pihak, akan menyebabkan
ketidakseimbangan sistem kehidupan atau pembesaran anak-anak kita. Dan jika
wujud ketidakseimbangan ini, maka kita dengan mudah boleh mengenalpasti
dimanakah punca kelemahan atau kesilapannya. Di kedua-dua institusi inilah
wujudnya kasih sayang, tanggungjawab, pendidikan dan amanah.
Ada ibu bapa yang terlalu kurang memberi kasih sayang dan mengabaikan
tanggungjawab mengasuh. Dalam erti kata lain, terlalai dalam kesibukan kerja
hingga terabai amanah sebagai ibu bapa. Tidak kurang yang terlalu memberi kasih
sayang yang melimpah ruah, mereka menutup kelemahan mereka dengan memberi
sepenuh kemewahan yang berlebih-lebihan kepada anak-anak. Kesannya, anak-
anak kita tidak mahu bersusah payah dan mahu semuanya tersedia di depan mata.
Apabila mereka mulai dewasa, sebahagiannya sudah mulai memijak kepala ibu
bapa dan guru-guru. Disiplin anak-anak kita menjadi kacau bilau. Yang rosak
mungkin seorang dua, tetapi tahap pergaulan luas dan tanpa bimbingan sempurna,
akan menjadikan ramai rakan-rakan lain yang turut terjerumus sama.
Tuan-Tuan, Puan-Puan Yang Dihormati Sekalian
Marilah kita renung dan fikirkan bersama. Janganlah kita alpa kerana cabaran
anak-anak kita pada masa hadapan pastinya lebih mencabar. Kalau tidak kita yang
bekalkan mereka dengan ilmu / didikan / disiplin yang sempurna, nescaya kita akan
saksikan mereka tersasar jauh dari landasan satu hari nanti.
Guru-guru di SMK Telok Kumbar mempunyai tanggungjawab besar mengajar
ilmu kepada anak-anak tuan / puan. Tetapi hal ini tidak mengurangkan atau
melepaskan amanah dan tanggungjawab kita sebagai ibu bapa dalam mengasuh
dan mendidik mereka menjadi anak yang soleh / solehah menjadi orang yang
berguna dunia dan akhirat. Marilah kita bimbing mereka bersama-sama. Tidak kira
mereka itu anak dia atau anak siapa pun.
Oleh yang demikian, ibu bapa mestilah sama-sama berperanan
memperelokkan gabungan kedua-dua institusi ini dalam PIBG SMK Telok Kumbar.
Semoga Allah s.w.t merahmati dan memberkati usaha dan kemampuan kita semua
ibu bapa dan juga semua guru SMK Telok Kumbar dalam mendidik anak-anak kita
cemerlang dunia dan cemerlang di Akhirat.
Sebelum saya mengundurkan diri, saya ingin merakamkan ucapan terima
kasih kepada pihak pihak sekolah dan barisan Ahli Jawatankuasa PIBG 2018/2019
yang bertungkus lumus menjayakan majlis ini.
Sekian, Wabillah Hitaufik Walhidayah
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Mesyuarat Agung PIBG SMK Telok Kumbar Kali Ke-29| 6

