Page 1226 - e Prosiding Serai 2021
P. 1226
Seminar Penyelidikan dan Pertandingan Inovasi Peringkat Antarabangsa (Serai) 2021
21-22 September 2021
bahasa pelajar, malah ia juga dapat mendedahkan mereka kepada konteks kehidupan yang
lebih luas dan komuniti yang lebih pelbagai. Ia dapat menjana pemikiran dengan cara yang
berbeza. Pembelajaran dwibahasa mempunyai pelbagai manfaat yang melangkaui
penggunaan bahasa; ia dapat meningkatkan perspektif afektif, linguistik dan sosial pelajar,
meningkatkan akses ke pendidikan tinggi dan peluang pekerjaan masa depan serta
membantu perkembangan identiti (Hopp et al., 2019; Edele, Kempert & Schotte, 2018;
Lindholm- Leary, 2016; Jong & Bearse, 2014). Berdasarkan manfaat pendidikan dwibahasa,
dasar dwibahasa telah diperkenalkan ke arah pemodenan dan globalisasi (Yamat, Umar &
Mahmood, 2014). Sehubungan dengan itu, program Dual-Language (DLP) diperkenalkan
untuk menggalakkan dan menyokong pendidikan dwibahasa.
DLP melibatkan pengajaran subjek menggunakan dua bahasa merangkumi
penggunaan bahasa ibunda dan bahasa sasaran. DLP juga menawarkan pembelajaran
akademik dan literasi, di samping pengajaran kandungan menggunakan dua bahasa
(Watzinger-Tharp, Rubia & Tharp, 2018; Freire & Valdez, 2017). Program ini dirancang untuk
mengembangkan kemahiran dwibahasa dan dwi-literasi, prestasi akademik dan kecekapan
pelbagai budaya pelajar (Hamman, 2018; Christian, 2016; Thomas & Collier, 2012). Bilangan
program DLP telah berkembang seiring dengan hasrat untuk meningkatkan pencapaian dan
penguasaan bahasa di kalangan pelajar (Li et al., 2016). Program DLP menggabungkan
pelbagai bahasa ibunda dan bahasa sasaran. Bahasa Sepanyol, Mandarin, Perancis dan
Korea adalah antara bahasa yang digabungkan dengan Bahasa Inggeris dalam DLP.
Permintaan untuk mengembangkan program ini ke bahasa lain seperti bahasa Arab, Rusia
dan Vietnam juga semakin meningkat; namun pelaksanaannya masih terbatas kerana
kekangan sumber dan pengalaman (Christian, 2016).
Program DLP di Malaysia bermula pada tahun 2016. Ia menyerupai dasar sistem
pendidikan Malaysia sebelum ini, Polisi Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa
Inggeris (PPSMI). PPSMI dilaksanakan pada tahun 2002 untuk mengembangkan modal insan
seiring aspirasi Malaysia untuk menjadi negara maju. Melalui dasar ini, pengajaran sains dan
matematik dijalankan menggunakan Bahasa Inggeris untuk jangka masa 10 tahun. Bagi DLP
pula, pelaksanaannya membuka peluang pelajar bersaing di peringkat global. DLP yang
dijalankan di Malaysia mempunyai hala tuju yang sama dengan DLP di negara lain dengan
memberi tumpuan kepada peningkatan penguasaan Bahasa Inggeris pelajar. Namun,
program ini memberi pilihan bahasa pengantar kepada pelajar dan guru untuk memilih sama
ada Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris dalam pembelajaran sains dan matematik
(Shamsudin, Abdullah & Noh, 2018; Bullah & Yunus, 2019). Ini menjadikan DLP yang
dijalankan di Malaysia berbeza dengan amalan DLP biasa. Program DLP lazimnya
e-Prosiding Serai 2021/e-ISBN 978-967-19359-3-4 1204

