Page 430 - e Prosiding Serai 2021
P. 430
Seminar Penyelidikan dan Pertandingan Inovasi Peringkat Antarabangsa (Serai) 2021
21-22 September 2021
mereka digalakkan untuk mengambil maklumat daripada arahan soalan karangan yang dipilih.
Hal ini adalah lebih mudah bagi mereka berbanding meminta mereka memikirkan satu perkara
yang ada kaitan dengan tema memandangkan golongan murid seperti ini biasanya kekurangan
pengetahuan am. Bagi murid dalam kategori sederhana dan cemerlang, mereka digalakkan
untuk memberikan ulasan sendiri berkaitan dengan tema seperti mengaitkannya dengan isu
semasa.
‘H’ pula adalah merupakan bahagian huraian bagi aspek ‘Te’. Bagi murid yang lemah,
pengkaji mencadangkan agar mereka mengambil maklumat daripada soalan yang
dikemukakan. Hal ini kerana pada arahan soalan juga biasanya terdapat ulasan ringkas
berkaitan tema karangan. Bagi murid golongan sederhana dan cemerlang pula, mereka
digalakkan untuk memberikan sedikit huraian kepada tema berdasarkan tiga kata kunci iaitu
faktor, kesan, atau langkah. Mereka digalakkan menyatakan beberapa maklumat berdasarkan
kata kunci tersebut. Murid boleh memberikan beberapa maklumat tersebut tanpa perlu
menghuraikannya.
‘At’ pula bermaksud ayat tanya. Murid bebas mengemukakan beberapa ayat tanya
melalui konsep 5W+1H. Ayat tanya itu pula seharusnya ada kaitannya dengan tema. Pada
bahagian ayat tanya, ada satu ayat tanya yang mesti dibina oleh murid bagi memenuhi
keperluan pengolahan bahagian pendahuluan karangan iaitu pernyataan kehendak soalan
karangan. Murid diberikan panduan tentang cara menuliskan pernyataan kehendak soalan ini
dengan mudah. Mariam (2011) delam kajiannya mendapati bahawa penggunaan kata tanya
dapat meningkatkan prestasi penulisan karangan murid.
‘U’ pula membawa makna ‘Ungkapan’ yang merujuk kepada peribahasa atau bahasa
indah. Peribahasa dalam penulisan karangan merupakan salah satu aspek yang dapat
meningkatkan penilaian sesuatu karangan. Sehubungan dengan itu, bagi murid lemah, mereka
diberikan satu sahaja peribahasa untuk mereka ingati iaitu “Hanya jauhari yang mengenal
manikam”. Peribahasa ini dipilih kerana peribahasa amat sesuai dipadankan dengan ayat-ayat
tanya yang telah dikemukakan pada bahagian ‘At’. Bagi murid golongan sederhana dan
cemerlang, mereka digalakkan menyatakan beberapa peribahasa yang ada kaitan dengan
tema. Kaedah menuliskan peribahasa dengan betul juga ditunjukkan oleh pengkaji.
‘K’ pula merujuk kepada kesimpulan kecil perenggan pendahuluan. Oleh itu, murid akan
didedahkan dengan kaedah penulisan kesimpulan yang mudah dan sesuai. Pada bahagian ini,
murid hanya perlu menyalin semula kehendak soalan dengan menggunakan penanda wacana
yang sesuai seperti sesungguhnya, tegasnya, dan lain-lain penanda wacana yang sesuai.
Keberkesanan kaedah ‘TeH AtUK’ dilihat menerusi reka bentuk kajian tindakan.
Menurut Stringer (2008), kajian tindakan adalah kajian yang dilaksanakan untuk menyelesaikan
masalah yang dikenal pasti dengan tujuan untuk menambah baik amalan dan menggalakkan
e-Prosiding Serai 2021/e-ISBN 978-967-19359-3-4 409

