Page 356 - Buku Teks MPV Pemprosesan Makanan
P. 356

Ikon Usahawan yang Berjaya

           Apabila membincangkan topik mengenai ikon usahawan yang
           berjaya di Malaysia, pasti anda membayangkan tokoh-tokoh seperti    7.1.4  Membincangkan ciri ikon
           Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, Ananda Krisnan, Datuk Steven Sim,        usahawan yang berjaya.
           Robert Kuok,  Tan Sri Azman Hashim, Dato' Dr. Haji Ramly Mokni
           dan ramai lagi. Nama-nama ini sering disebut dan dikenali umum.
           Mari pelajari kisah kejayaan mereka mengusahakan perniagaan
           masing-masing.

           Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary



            Nama:       Tan Sri Syed Mokhtar Shah
                        bin Syed Nor Albukhary
            Asal:       Alor Setar, Kedah
            Jawatan:    Pengerusi Yayasan Al-Bukhary


                                                      Latar belakang


           Tan Sri Syed  Mokhtar telah memulakan  langkah ke dunia pekerjaan sejak di bangku  persekolahan lagi.
           Beliau merupakan anak ketiga daripada tujuh adik-beradik. Tan Sri Syed Mokhtar akan membantu ibunya
           menanam dan menjual sayur-sayuran di pasar. Apabila pulang dari sekolah beliau akan membantu bapanya
           menternak lembu dan kerbau. Perniagaan penternakan lembu dan kerbau bapanya terkena wabak penyakit
           kuku dan mulut yang menyebabkan kerugian yang besar. Beliau mengambil keputusan untuk mengambil
           alih perniagaan bapanya. Usahawan ini memulakan perniagaannya dengan membeli daging yang tidak
           terjual di pasar dan menjualnya kembali ke peniaga bumiputera atau ke restoran di sekitar Alor Setar.
                Seterusnya, beliau beralih ke bidang pengangkutan dan berjaya mendapatkan permit bagi empat buah
           lori kelas A melalui pinjaman MARA. Beliau telah membeli dua buah lori Mercedes 911LS untuk perniagaan
           pengangkutannya itu. Perniagaannya semakin berkembang, sehingga beliau berjaya menubuhkan pelbagai
           syarikat dan bekerjasama dengan syarikat-syarikat antarabangsa sekitar tahun 1970-an. Perkembangan
           perniagaan  menjadikan beliau salah  seorang pemegang  saham yang terbesar  dalam beberapa  syarikat
           terkemuka negara. Tan Sri Syed Mokhtar telah mengasaskan Yayasan Albukhary pada tahun 1996. Melalui
           Yayasan ini, beliau telah banyak menyumbang  untuk membiayai pelbagai program kebajikan. Yayasan
           Albukhary juga sering mengadakan dialog peradaban untuk menggalakkan toleransi dan persefahaman
           antara masyarakat berbilang agama dan kepercayaan. Ikon usahawan ini telah dipilih sebagai tokoh Maal
           Hijrah peringkat kebangsaan pada tahun 2008.  Walaupun begitu, beliau menjalani kehidupan dengan
           penuh kesederhanaan walaupun memiliki aset yang bernilai bilion ringgit.
                Terkini, beliau dikhabarkan telah membeli saham syarikat penerbitan terbesar di Malaysia
           iaitu Media Prima Berhad dengan nilaian sebanyak RM74 juta (bersamaan 11.09% pegangan
           saham). Dengan pembelian ini menjadikan beliau menguasai dua syarikat penyiaran besar selain
           daripada  TMR Media Sdn. Bhd. iaitu penerbit bagi  The Malaysian Reserve dan Utusan Malaysia
           (M)  Sdn.  Bhd.    Kekayaan beliau merupakan hasil daripada pegangan saham di dalam syarikat
           MMC Corp dan DRB-Hicom. Operasi yang dijalankan oleh MMC Corp adalah berkaitan dengan pelabuhan,
           pengangkutan, pembinaan dan kejuruteraan manakala DRB-Hicom terlibat dengan automotif, hartanah dan
           pendidikan.
              Bermula dari September 2018, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary telah menjual sebanyak 49.9% saham
           pegangannya di dalam Proton Holding melalui syarikat DRB-Hicom kepada Zhejiang Geely Holding Group
           bernilai US107 juta. Walau bagaimanapun, syarikat DRB-Hicom masih lagi mempunyai 50.1% saham dalam
           Proton Holding (Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary pemegang saham sebanyak 85% DRB-Hicom). Kejayaan Tan
           Sri Syed Mokhtar bermula daripada dorongan untuk memajukan ekonomi keluarga yang serba kekurangan.
           Berkat usaha perniagaan kecil-kecilan akhirnya berjaya menjadi antara konglomerat terkemuka di Malaysia.
           Beliau juga tidak melupakan untuk bersedekah dan memberi kepada golongan yang kurang bernasib baik.
                                                                  (Petikan dipetik dan disesuaikan daripada Majalah Forbes.)
             350
   351   352   353   354   355   356   357   358   359   360   361