Page 45 - high performance school_Neat
P. 45
Kebanyakannya, masalah kami ini melibatkan antara pelajar asrama dan
juga yang bukan asrama. Saya dapat rasakan hal ini kerana kelas kami
itu merupakan kelas prep bagi pelajar asrama Tingkatan 1. Jadi, segala
tindakan kami di situ agaklah terjejas lebih-lebih lagi dalam menghias
kelas. Kami merasakan perkara itu sangatlah tidak adil kerana kelas
lain dapat melakukan apa sahaja yang mereka inginkan seperti
mengecat kelas tetapi kami hanya mampu termenung dan membisu
kerana gagal mendapatkan kebenaran. Barang-barang pelajar asrama
juga diletakkan di situ, maka kami tidak dibenarkan sembarangan
menghias kelas kami. Di situlah bermulanya pergaduhan kami. Namun,
masalah ini juga berpunca daripada sikap masing-masing yang
berpayungkan keegoan dan pemikiran yang tidak matang. Masalah ini
sebenarnya sangatlah remeh tetapi begitulah kami semasa dalam usia
13 tahun, titik permulaan untuk ke arah dunia kedewasaan .
Akan tetapi, semua perkara yang berlaku ini hanya menjadi satu
parut yang tiada ubatnya di hati kami. “Tahun baharu, jiwa baharu".
Itulah kata-kata yang cuba kami amalkan dalam diri setiap pelajar kelas
Berlian. Segala masalah berjaya diselesaikan, dan hati kami mula
menunjukkan arah yang sama. Tiada lagi perbalahan dan semuanya
sudah selesa antara satu sama lain. Kami mula menumpahkan kasih
sayang sesama sendiri malahan tiada lagi perbezaan antara pelajar
asrama dan yang bukan asrama. Semuanya sudah tidak malu untuk
menunjukkan perangai ‘gila' masing-masing dan ini yang membuatkan
kami bertambah akrab antara satu sama lain. Kami juga telah mencipta
satu akaun Instagram untuk kelas kami, supaya segala memori-memori
bersama dapat diingati dan tidak akan dilupakan walaupun sudah besar
nanti. Perkara ini telah membuktikan bahawa betapa akrabnya kami
antara satu sama lain yang bagaikan isi dengan kuku, dan saya sangat
berharap bahawa perkara ini akan berkekalan.

