Page 70 - Buku Teks Digital Sejarah KSSM Tingkatan 1
P. 70

Peralatan
                  Peralatan manusia Zaman Prasejarah diperbuat daripada batu, kayu dan tulang haiwan yang
                  digunakan untuk pelbagai kegunaan dalam kehidupan mereka. Peningkatan pengetahuan
                  manusia tentang campuran logam, acuan dan suhu pembakaran telah membolehkan peralatan
                  gangsa dan besi dicipta bagi menggantikan peralatan batu dan kayu. Peralatan gangsa dan besi
                  merupakan hasil ciptaan inovasi yang banyak membantu kehidupan manusia sehingga hari
                  ini. Antaranya termasuklah pedang, parang, tombak, cangkul, keris dan kapak. Pembuatan
                  peralatan besi ini terus kekal dalam sejarah dan tamadun manusia. Peralatan pada zaman
                  moden berubah apabila mesin dan jentera mula digunakan. Aktiviti memotong dan menghiris
                  daging tidak lagi menggunakan peralatan batu mahupun besi, sebaliknya menggunakan mesin
                  terutamanya dalam aktiviti komersial.













                                              Peralatan besi seperti parang
                                              dan keris.
                  Peralatan Zaman Batu.                                    Mesin memotong dan menghiris daging.





                   Tembikar
                  Manusia Zaman Prasejarah mempunyai pengetahuan dan kemahiran membuat tembikar yang
                  dijadikan bekas makanan dan peralatan masakan. Kedua-dua pengetahuan ini masih diamalkan
                  hingga hari ini. Pada Zaman Prasejarah, tembikar turut dijadikan peralatan dalam upacara
                  ritual. Tembikar buatan China seperti tembikar Dinasti Ming serta buatan Vietnam pernah
                  menjadi komoditi perdagangan yang penting pada abad ke-14 dan ke-15 Masihi. Pembuatan
                  tembikar terus kekal sehingga kini dan menjadi industri yang sangat penting. Pembuatan labu
                  sayong merupakan industri yang penting di Kuala Kangsar, Perak.












                  Replika tembikar berkaki    Tembikar dari Delta Sungai   Industri labu sayong di Kuala Kangsar,
                  tiga Zaman Hoabinhian yang   Merah, Vietnam bertarikh abad   Perak.
                  ditemukan di Bukit Keplu,   ke-15 Masihi yang ditemukan
                  Kedah, Malaysia.            di Pulau Jawa, Indonesia.



                 62
                 62
   65   66   67   68   69   70   71   72   73   74   75