Page 130 - Jurnal Pendidikan Tingkatan Enam 2019 - Jilid 3
P. 130
Perubahan Paradigma Pemikiran Ke Arah Pendidikan Berkualiti
MENINGKATKAN PENGUASAAN FAKTA SEJARAH ISLAM DENGAN
MENGAPLIKASIKAN PENGGUNAAN PeMindaKu DALAM KALANGAN
PELAJAR TINGKATAN 6A3
Sania Walbani
Pusat Tingkatan Enam SMK Lundu, Kuching, Sarawak.
Abstrak 8
Kajian ini bertujuan untuk memastikan sejauh mana keberkesanan kaedah pengajaran dan
pemudahcaraan (PdPc) dengan mengaplikasikan penggunaan alat berfikir yang dinamakan
PeMindaKu bermaksud Peta Minda Ku. Kaedah ini dipercayai akan dapat membantu pelajar untuk
menguasai fakta. Kumpulan sasaran kajian ini adalah kepada pelajar-pelajar di kelas 6A3, tetapi
fokus utama kajian adalah kepada lima orang pelajar. Tinjauan awal telah dilaksanakan melalui
kaedah pemerhatian, temu bual dan ujian. Berdasarkan tinjauan awal menunjukkan bahawa
pelajar lemah dalam menguasai fakta Sejarah Islam. Bagi mengatasi isu tersebut, satu kajian
dibuat dengan merancang peta minda yang sesuai untuk digunakan dalam PdPc. Aktiviti PdPc
melibatkan guru menunjukkan beberapa jenis peta minda untuk membantu pelajar menguasai fakta,
huraian dan contoh. Penilaian dibuat melalui ujian diagnostik; ujian pos yang menunjukkan kesan
aplikasi penggunaan PeMindaKu dalam meningkatkan pengetahuan dan kefahaman pelajar dalam
menguasai fakta Sejarah Islam.
Kata kunci: PeMindaKu, alat berfikir, Sejarah Islam, menguasai fakta, peta minda
1.0 REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMUDAHCARAAN YANG LALU
Dalam kurikulum STPM Sejarah Semester 2, iaitu Sejarah Islam (Kertas 2), tiga tema
dipelajari iaitu Tema 1; Masyarakat, Pemerintahan, Pertahanan dan Perhubungan Luar,
Tema 2; Pembangunan dan Penerokaan dan Tema 3; Nasionalisme dan Pembentukan
Negara Bangsa. Setiap tema dipecahkan kepada tajuk-tajuk utama. Seterusnya, tajuk-
tajuk utama ini dipecahkan lagi kepada subtajuk-subtajuk.
Untuk menilai pencapaian pelajar dalam menguasai tajuk-tajuk ini, guru-guru menggunakan
rubrik yang standard di seluruh negara sebagai rujukan utama bagi memberi skor kepada
penulisan esei. Rubrik terdiri daripada tiga elemen iaitu pengetahuan dan kefahaman,
taakulan dan komunikasi. Skor bagi setiap soalan esei untuk semua kertas Sejarah iaitu
Kertas 1 (Sejarah Dunia), Kertas 2 (Sejarah Islam) dan Kertas 3 (Sejarah Malaysia dan
Asia Tenggara) adalah sebanyak 20 markah. Dalam aspek pengetahuan dan kefahaman,
penguasaan fakta adalah merupakan satu elemen yang penting dan lapan markah
diperuntukkan bagi elemen ini, taakulan enam markah dan komunikasi enam markah.
Peruntukan markah bagi elemen pengetahuan dan kefahaman adalah besar dan sekali
gus mempengaruhi pemberian markah bagi elemen taakulan dan komunikasi.
Kementerian Pendidikan Malaysia 129

