Page 26 - PELAN ANTIRASUAH FELDA 2020-2024
P. 26
PELAN ANTIRASUAH FELDA 2020-2024
e) Faktor Ekonomi Dan Peluang Perniagaan
Adalah terlalu subjektif untuk menunjukkan hubung kait dengan tepat di antara amalan jenayah rasuah
dengan kadar kepesatan pembangunan sosio-ekonomi. Walaupun kita sukar untuk mengumpul dan
memperolehi data-data statistik, tetapi kita dapat perhatikan bahawa kadar jenayah rasuah juga
meningkat dengan kepesatan proses pembangunan dan modenisasi di dalam negara ini.
Hal ini dapat dirumuskan bahawa kadar jenayah rasuah meningkat bukan sahaja dilihat dari sudut
siapa tokoh terlibat atau jumlah nilai rasuah, tetapi perlu dilihat dari sudut keluasan sektor atau
perkhidmatan yang terdedah kepada kerakusan jenayah rasuah itu sendiri.
Semakin banyak peluang-peluang perniagaan dan projek pembangunan dilaksanakan, semakin
banyak transaksi suapan rasuah berlaku dan semakin mahal projek itu, semakin tinggilah nilai
suapannya. Keadaan sedemikian wujud kerana kepesatan pembangunan ekonomi dan lebih banyak
projek pembangunan dilaksanakan.
Projek-projek pembangunan ini memberi peluang kepada pegawai tertentu untuk mendapatkan
wang dan mengaut keuntungan segera. Pihak-pihak yang terlibat dengan projek-projek ini ada yang
mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan.
Di samping itu, tekanan modenisasi khususnya sikap berlumba-lumba untuk hidup mewah dengan
jalan singkat dengan mendapatkan manfaat daripada projek-projek pembangunan akan mendorong
seseorang pegawai kerajaan melakukan jenayah rasuah. Kontraktor atau ahli perniagaan akan cuba
menawan hati pegawai-pegawai kerajaan atau ahli-ahli politik untuk memperolehi projek-projek atau
kontrak melalui suapan rasuah sebagai umpan seperti melancong ke luar negara, menghadiahkan
kereta mewah, hartanah, pegangan saham dalam syarikat atau barang kemas.
f) Faktor Politik
Sebagaimana yang diketahui umum, politik ialah satu permainan kuasa. Siapa yang berkuasa boleh
melakukan apa sahaja dengan kuasa yang ada padanya. Ramai orang beranggapan, kuasa boleh
mengangkat status dan kedudukan seseorang itu. Akibatnya untuk berkuasa mereka sanggup
melakukan apa saja asalkan mereka dapat memperolehi dan mengekalkan kuasa. Mereka akan
sanggup menabur pelbagai janji seperti tawaran pekerjaan, kontrak, tender dan peluang pelaburan
asalkan mereka dapat berkuasa.
Ada kalangan ahli-ahli politik pula, menggunakan kedudukan jawatan dalam agensi atau syarikat
berkaitan kerajaan sebagai pengerusi atau Ahli Lembaga Pengarah untuk kepentingan peribadi dengan
memberikan kontrak, lesen, permit, saham dan jawatan kepada ahli keluarga, saudara mara dan
kroninya atau suku sakatnya. Sekiranya kuasa berada dalam tangan orang-orang yang tamak kuasa
dan merebut atau memperoleh harta kekayaan secara haram melalui rasuah akan memusnahkan
kesejahteraan rakyat dan negara. Agensi atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dipengerusikan
olehnya atau jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah akan terdedah kepada risiko kerugian atau
kepincangan dalam tadbir urus.
14 FELDA ANTI-CORRUPTION PLAN (FACP) 2020–2024

