Page 14 - Sultan Johor
P. 14
Siri ketiga Kembara Mahkota tahun 2003, yang berlangsung selama empat hari
tiga malam mulai 8 hingga 11 Mei, meneruskan tumpuan terhadap kerja amal dan
kebajikan, antaranya Tunku Mahkota Johor telah menyumbangkan komputer, pakaian dan
basikal kepada murid-murid miskin di luar bandar. Melalui Kembara Mahkota, rakyat
merasakan bertuah bernaung di bawah institusi istana Johor yang sentiasa memberi perhatian
terhadap soal kebajikan, kesejahteraan dan kepentingan pendidikan rakyat. Kembara
Mahkota juga memberi faedah besar kepada Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat Johor. Para
pemimpin negeri dan pegawai-pegawai kerajaan yang mengambil bahagian dalam acara
berprestij ini, dapat melihat sendiri dan mengumpul maklumat mengenai aspirasi dan
keperluan rakyat secara lebih jelas. Berbekalkan pengalaman yang dilalui dan maklumat
yang diperolehi, mereka berupaya melaksanakan dasar-dasar pembangunan yang benar-benar
memberi manfaat kepada rakyat yang tinggal di luar bandar.
DYMM Sultan Ibrahim sangat berminat dalam bidang sukan, khususnya polo yang telah
membawa baginda menyertai kejohanan sehingga ke peringkat antarabangsa. Turut menjadi
kegemaran Tuanku ialah sukan tenis, luncur layar, menembak, memandu dan payung terjun.
Tuanku juga telah mencipta sejarah memperolehi Lesen Memandu Kereta Api Kelas 26
setelah menyempurnakan acara pusingan lokomotif seberat 86 tan menggunakan alat ‘turn
table’. Tuanku juga telah menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Records
(MBOR) sebagai Sultan pertama memandu kereta api secara rasmi. Majlis penyampaian
lesen memandu kereta api ini disempurnakan oleh Dr. Aminuddin Adnan, Presiden Kereta
Api Tanah Melayu Bhd (KTMB) pada
29 Jun 2010 di Stesen Kereta
Api Gemas.

