Page 27 - PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN Cetakan Semula Sebagaimana pada 1 November 2010
P. 27

[Perkara  6]        Perlembagaan  Persekutuan                    23

              keabdian dan kerja paksa  dilarang

              6.  (1)  Tiada  seorang  pun boleh ditahan  sebagai abdi.

                (2)  Segala bentuk kerja paksa adalah dilarang, tetapi Parlimen
              boleh  melalui  undang-undang  membuat  peruntukan  mengenai
              perkhidmatan  wajib  bagi maksud-maksud  negara.

                (3)  Kerja  atau  khidmat  yang  dikehendaki  daripada  mana-
              mana orang sebagai akibat daripada sesuatu sabitan atau dapatan
              bahawa  dia  bersalah  di  mahkamah  tidaklah  dikira  sebagai  kerja
              paksa mengikut pengertian Perkara ini, dengan syarat kerja atau
              khidmat itu dijalankan di bawah pengawasan dan kawalan suatu
              pihak berkuasa  awam.

                (4)  jika menurut mana-mana undang-undang bertulis kesemua
              atau  mana-mana  bahagian  daripada  fungsi  mana-mana  pihak
              berkuasa awam dikehendaki dijalankan oleh suatu pihak berkuasa
              awam  yang  lain,  bagi  maksud  membolehkan  fungsi-fungsi  itu
              dilaksanakan,  maka  pekerja-pekerja  pihak  berkuasa  awam  yang
              mula-mula disebut adalah terikat untuk berkhidmat dengan pihak
              berkuasa  awam  yang  kedua  disebut,  dan  perkhidmatan  mereka
              dengan  pihak  berkuasa  awam  yang  kedua  disebut  itu  tidaklah
              dikira  sebagai  kerja  paksa  mengikut  pengertian  Perkara  ini,  dan
              tiada seorang pun pekerja itu berhak menuntut apa-apa hak sama
              ada daripada pihak berkuasa awam yang mula-mula disebut atau
              kedua disebut  itu  oleh  sebab pertukaran  pekerjaannya.



              perlindungan  daripada  undang-undang  jenayah  kuat  kuasa
              ke  belakang  dan  perbicaraan berulang

              7.  (1)  Tiada seorang pun boleh dihukum kerana sesuatu perbuatan
              atau peninggalan yang tidak boleh dihukum menurut undang-undang
              pada masa perbuatan atau peninggalan itu dilakukan atau dibuat,
              dan  tiada  seorang  pun  boleh  menanggung  hukuman  yang  lebih
              berat  kerana  sesuatu  kesalahan  daripada  yang  telah  ditetapkan
              oleh undang-undang pada masa kesalahan  itu  dilakukan.

                (2)  Seseorang  yang  telah  dibebaskan  daripada  sesuatu
              kesalahan  atau  disabitkan  atas  sesuatu  kesalahan  tidak  boleh
              dibicarakan semula kerana kesalahan yang sama kecuali jika sabitan
              atau  pembebasan  itu  telah  dibatalkan  dan  perbicaraan  semula
              diperintahkan  oleh  suatu  mahkamah  yang  lebih  atas  daripada
              mahkamah yang telah  membebaskan  atau  mensabitkannya  itu.
   22   23   24   25   26   27   28   29   30   31   32