Page 170 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 170
PERBINCANGAN
Objektif utama kajian ini adalah untuk mengenal pasti tahap penguasaan murid
berkomunikasi dalam bahasa Cina selepas mengikuti kelas BCSK dan faktor murid
mempelajari BCSK. Secara keseluruhannya, didapati sebanyak 59.5% murid yang mengambil
mata pelajaran BCSK berupaya mencapai tahap penguasaan berkomunikasi bahasa Cina pada
tahap yang memuaskan. Namun begitu, tahap pencapaian 40.5% murid masih kurang
memuaskan, iaitu hanya mencapai tahap penguasaan 2 dan tahap penguasaan 1. Dengan kata
lain, tahap kemahiran berkomunikasi bahasa Cina dalam kalangan murid adalah masih terhad.
Secara khususnya, daripada 79 yang mencapai tahap penguasaan yang kurang
memuaskan, didapati sebanyak 62 orang murid adalah bangsa bukan Cina. Hal demikian
berlaku mungkin disebabkan oleh kekurangan peluang untuk mengaplikasikan bahasa kedua
yang dipelajari dari sekolah khususnya semasa berada di rumah yang merupakan salah satu
faktor penting untuk menguasai bahasa kedua. Kenyataan ini dapat diperjelaskan lagi dengan
teori perolehan bahasa kedua (Spolky, 1988). Berdasarkan teori Spolky, faktor konteks sosial
murid, sama ada di rumah, di sekolah atau pun di sekitar komuniti akan memberi dan membuka
peluang kepada murid Tahun 1 dan 2 untuk belajar secara formal dan tidak formal. Konteks
sosial ini seterusnya akan mempengaruhi tahap perolehan bahasa kedua dalam kalangan murid
Tahun 1 dan 2 semasa mengikuti kelas BCSK. Dapatan kajian ini sebenarnya telah
membuktikan bahawa kepentingan faktor konteks sosial murid perlu diambil kira dalam
meningkatkan keberkesanan tahap penguasaan BCSK murid Tahun 1 dan 2.
Pembelajaran BCSK dalam konteks sekolah sama ada secara formal atau tidak formal
merupakan persekitaran utama yang membolehkan murid berinteraksi dan menggunakan
bahasa kedua yang dipelajari. Oleh yang demikian, pihak sekolah, terutamanya guru harus
sedar tentang keperluan murid dengan guru untuk mereka bentuk pembelajaran dan
mewujudkan peluang seperti mengadakan program tertentu sebagai aktiviti penggayaan
pembelajaran bahasa kedua (Cummins, 1999).
Sehubungan dengan itu, kajian ini mencadangkan pihak sekolah, terutamanya guru
perlu mewujudkan persekitaran penggunaan bahasa Cina dalam komunikasi harian sama ada
di dalam bilik darjah (secara formal) mahupun di luar bilik darjah (secara tidak formal). Kajian
ini juga mencadangkan guru untuk menyediakan jenis pembelajaran berasaskan tugasan. Jenis
pembelajaran ini merupakan pendekatan yang amat berkesan kerana dapat memberi peluang
kepada murid untuk menggunakan bahasa yang dipelajari dalam situasi yang sebenar,
kemahiran berkomunikasi diperlukan untuk menyelesaikan tugasan yang diberi (Adendorff,
2014; Celik, 2017). Guru perlu untuk mewujudkan suasana berbahasa Cina di sekolah seperti
mengadakan aktiviti jualan ataupun membeli-belah antara murid dengan murid atau antara guru
dengan murid. Pihak sekolah juga boleh menggalakkan jalinan sekolah dengan SJKC atau
pihak Agensi Bukan Kerajaan (NGO) bagi mewujudkan peluang belajar yang lebih luas untuk
murid Tahun 1 dan 2. Selain itu, guru juga boleh mempelbagaikan aktiviti tambahan
bersempena dengan minggu bahasa ataupun sempena sambutan perayaan, seperti memberikan
ucapan kepada guru berbangsa Cina, pertandingan bercerita, perkongsian makanan bersama
rakan. Aktiviti-aktiviti yang dicadangkan ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada situasi
sebenar, tetapi juga peluang berinteraksi yang bermakna untuk mempelajari bahasa kedua
(Ghosn, 2004; 吴伟平, 2015; 赵金铭, 2008). Kesemua aktiviti-aktiviti yang dicadangkan
haruslah menggunakan bahasa Cina untuk berkomunikasi (关之英, 2012). Dengan ini, murid
bukan sahaja diberi peluang untuk berkomunikasi dalam bahasa yang dipelajari, malah juga
berupaya untuk menggunakan pengetahuan yang sedia ada untuk memantapkan penggunaan
bahasa Cina sebagai bahasa kedua.
161

