Page 171 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 171
Selain itu, guru sekolah sebenarnya boleh juga mengamalkan strategi pembelajaran
yang melibatkan penglibatan ibu bapa dalam konteks sosial seperti pembelajaran murid di
rumah memandangkan ibu bapa berperanan sebagai guru kepada anak sendiri (Senechal &
Lefevre, 2002). Di samping itu, ibu bapa juga perlu menyediakan jenis tugasan yang
memerlukan penggunaan bahasa Cina untuk berkomunikasi. Dengan kata lain, dalam konteks
pembelajaran murid di rumah, ibu bapa digalakkan untuk berperanan sebagai pembimbing dan
mewujudkan peluang kepada anak untuk menggunakan bahasa Cina yang telah dipelajari
(secara tidak formal). Sebagai contohnya, ibu bapa memainkan peranan sebagai anak murid
dan mempelajari kosa kata yang telah dipelajari oleh anak di sekolah, berkomunikasi dalam
bahasa Cina untuk bertegur sapa dengan rakan ataupun jiran yang berbangsa Cina dan
sebagainya. Situasi begini amat digalakkan kerana pembangunan kemahiran bahasa juga perlu
melalui dalam konteks sosial iaitu interaksi murid dalam situasi sebenar (Celik, 2017;
Cummins, 2008; 关之英, 2012).
Dengan adanya inisiatif tersebut, masalah seperti (a) kekurangan peluang untuk
mengaplikasikan kosa kata yang dipelajari, (b) kelupaan kosa kata yang pernah dipelajari serta
(c) masalah murid bukan penutur jati bahasa Cina berkemungkinan besar dapat diatasi. Strategi
pembelajaran secara proaktif sememangnya disarankan oleh penyelidik kajian lepas, iaitu
melibatkan diri secara aktif dan menggunakan bahasa yang dipelajari sebanyak mungkin dilihat
sebagai asas kejayaan kepada penguasaan bahasa kedua (Adendorff, 2014; Celik, 2017;
Chamot, 1998; Cummins, 2007; 关之英, 2012; 吴伟平, 2015; 赵金铭, 2008)
Tambahan lagi, tahap pencapaian murid Tahun 1 dan 2 sebenarnya boleh
dipertingkatkan lagi. Kesemua respons yang dikumpul daripada murid dalam kajian ini
sebenarnya merupakan perasaan ataupun sosial-emosi dalaman individu murid yang
menggalakkan dalam pembelajaran BCSK. Hal ini disebabkan oleh motivasi dalaman yang
mempengaruhi dalam keberkesanan pembelajaran bahasa kedua murid Tahun 1 dan 2 dalam
BCSK (Engin, 2009; O’Malley & Chamot, 1995). Dapatan kajian ini selari dengan kajian lepas
yang telah dijalankan oleh Masgoret dan Gardner (2003) yang menunjukkan bahawa individu
yang bermotivasi dan positif akan lebih berusaha dan menumpukan penuh perhatian terhadap
pembelajarannya, mempunyai keinginan dan lebih menikmati aktiviti yang dipelajarinya.
Murid Tahun 1 dan 2 yang mengikuti pembelajaran BCSK ini telah mengalami pengukuhan
melalui kejayaan dan mengalami kekecewaan daripada kegagalan. Motivasi dalaman ini
berupaya membantu murid Tahun 1 dan 2 untuk mengubah strategi bagi mencapai matlamat
dalam pembelajaran Bahasa Cina sebagai bahasa kedua. Selain itu, kajian lepas juga
mencadangkan bahawa guru sekolah seharusnya menerapkan motivasi dalaman yang positif
untuk membangunkan strategi pembelajaran yang bersesuaian dengan murid (Engin, 2009).
Dengan ini, tahap penguasaan bahasa kedua murid akan dipertingkatkan lagi.
Walau bagaimanapun, dapatan kajian ini mendapati bahawa faktor pemilihan mata
pelajaran BCSK murid kebanyakannya bukan disebabkan oleh dorongan ataupun hasrat murid
sendiri tetapi lebih kepada galakan daripada ibu bapa. Selain itu, didapati kebanyakan murid
kurang kesedaran tentang kepentingan mempelajari mata pelajaran BCSK. Malah, mereka
lebih cenderung kepada tujuan jangka pendek seperti (a) berkomunikasi atau bersalam dengan
cikgu dan kawan Cina, (b) boleh kenal karakter, (c) membaca serta menulis, (d) boleh
menonton wayang Cina serta menyanyi lagu Cina, (e) boleh jadi rajin dan pandai, (f) boleh
berkomunikasi dengan ahli keluarga dan saudara mara, (g) boleh melancong ke negara yang
berbahasa Cina, (h) boleh dapat hadiah dan juga sebab-sebab yang lain seperti (i) suka cikgu
Bahasa Cina, (j) suka berbahasa Cina, (k) sebutannya sedap didengar serta (l) rasa bangga.
Sebaliknya, hanya 15% orang murid belajar bahasa Cina untuk tujuan jangka masa panjang
yang jelas dan berkaitan dengan kerjaya dan perancangan pada masa hadapan. Antaranya ialah
(a) boleh berkomunikasi dengan masyarakat setempat (sama ada doktor, peniaga ataupun jiran),
162

