Page 140 - Jurnal Kurikulum BPK 2018
P. 140
Penerapan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi:
Strategi Pengajaran Dan Pembelajaran
Ramanathan Nagarathinam
Bahagian Pembangunan Kurikulum
ramanathan@moe.gov.my
Abstrak
Penerapan KBAT dalam pengajaran dan pembelajaran dapat melengkapkan murid dengan pelbagai
kemahiran yang diperlukan pada abad ke-21 di samping membantu mereka memahami kandungan yang
dipelajari. Oleh kerana guru memainkan peranan penting dalam pencapaian akademik murid dan
bertanggungjawab membentuk murid sebagai ‘global player’, pemahaman tentang KBAT adalah sangat
penting. Banyak kajian mendapati guru tahu dan faham tentang kepentingan KBAT namun, penerapannya
dalam proses PdP tidak memberangsangkan. Didapati terdapat beberapa kekangan yang dihadapi oleh
para guru dalam menerapkan KBAT secara efektif. Kertas konsep ini membincangkan isu- isu berkaitan
pelaksanaan KBAT di sekolah dan memberi cadangan berkaitan strategi pengajaran dan pembelajaran
KBAT yang dapat diamalkan oleh guru.
Kata kunci: Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), strategi, pengajaran dan pembelajaran (PdP),
pembelajaran aktif, pengajaran dan pembelajaran (PdP) abad ke-21
PENGENALAN
Kebanyakkan sistem persekolahan tradisional diselubungi empat gambaran iaitu, belajar
bermaksud mendengar, mengajar bermaksud memberitahu, pengetahuan bermaksud sesuatu
objek dan berpendidikan bermaksud mengetahui fakta (Harpaz, 2005). Dalam konteks
sedemikian, aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) disamaertikan dengan penguasaan
kemahiran asas seperti membaca, menulis dan mengira demi mengembangkan keupayaan intelek
seseorang murid. Menurut Dewey (1933), “Learning is not doing, it is in thinking about doing”.
Piaget pernah menegaskan bahawa matlamat utama pendidikan adalah untuk membentuk manusia
yang berupaya melakukan perkara baharu dan mempunyai daya pemikiran kritikal dan bukannya
mengulangi apa yang dilakukan oleh generasi terdahulu semata-mata. Ini bermakna pembelajaran
merupakan suatu proses aktif yang memerlukan murid berfikir tentang fikiran mereka sendiri
(Wilson & Bai, 2010). Oleh yang demikian, desakan untuk mengembangkan banyak lagi
kemahiran kognitif murid melalui PdP (Lewis & Smith, 1993) sedang memuncak. Walaupun
kemahiran yang dimaksudkan diberi pelbagai terma oleh para cendikiawan mengikut bidang
seperti pemikiran kritis, pemikiran kreatif, penaakulan, metakognisi dan penyelesaian masalah
(Resnick, 1987), semua kemahiran ini boleh diletakkan di bawah terma umum yang lebih luas
iaitu, Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).
Menurut Lewis & Smith (1993), KBAT boleh didefinisikan sebagai kemahiran seseorang
memproses pengetahuan sedia ada dan pengetahuan baharu untuk melihat perkaitan antaranya dan
menyusun semula serta menggunakan pengetahuan baharu itu untuk mencapai sesuatu tujuan
tertentu atau mencari jawapan dalam situasi yang mencabar. Barak, Ben-Chaim & Zoller (2007)
pula mentakrifkan KBAT sebagai pemikiran bukan algoritma dalam mod rumit yang berupaya
menjana pelbagai penyelesaian. Kini, secara umumnya para pengkaji mengaitkan KBAT dengan
130

