Page 142 - Jurnal Kurikulum BPK 2018
P. 142
bertanggung jawab dalam apa jua bidang yang diceburi (Barak et al. 2007). Menyedari hakikat
ini, di Malaysia penerapan kemahiran berfikir telah lama diberi keutamaan (Yen & Halili, 2015).
Walaupun pelaksanaan kemahiran berfikir dalam kurikulum telah berlalu beberapa dekad,
keberkesanannya masih menjadi tanda tanya memandangkan rungutan guru dan majikan tentang
kebolehan berfikir generasi kini masih berterusan. Tambahan pula, status kedudukan Malaysia
dalam Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) dan Programme for
International Student Assessment (PISA) yang tidak membanggakan menimbulkan keraguan
terhadap kewibawaan sistem pendidikan negara ini di arena antarabangsa (Krishnan, 2014).
Perkara ini telah mendesak kemahiran berfikir yang sedia ada dalam kurikulum diberi nafas
baharu dengan nama Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan diberi penekanan sebagai satu
elemen utama dalam kurikulum dan diwajibkan penerapannya dalam pengajaran dan
pembelajaran (PdP) serta pentaksiran oleh guru sejak dari bangku sekolah rendah lagi (Yen &
Halili, 2015). Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) untuk semua mata
pelajaran yang disusun semula menekankan penguasaan pengetahuan tentang fakta dan konsep
serta keupayaan untuk menggunakan pengetahuan tersebut dalam pemikiran, penaakulan dan
penyelesaian masalah (Brookhart, 2010). Hasrat KBAT dinyatakan dalam Standard Kandungan
dan Standard Pembelajaran secara eksplisit (KPM, 2014).
Adakah penyususnan semula dokumen kurikulum dan buku teks serta perubahan cara
pentaksiran boleh menjanjikan pembentukan modal insan yang mempunyai KBAT yang
mencukupi? Resnick (1987) berpendapat walaupun semua sekolah mempunyai aspirasi yang jelas
ke arah menghasilkan murid yang mempunyai KBAT, kita belum pasti berjaya sepenuhnya. Ini
kerana, untuk merealisasikan perkara ini pemahaman dan keprihatinan guru tentang KBAT adalah
sangat penting supaya dapat merancang dan melaksanakan segala bentuk aktiviti PdP (KPM,
2014; Brookhart, 2010) secara berkesan selaras dengan hasrat pendidikan negara.
Peranan dan Keprihatinan Guru
Walaupun banyak pihak terlibat dalam penggubalan dan penyebaran sesuatu kurikulum,
pelaksanaannya bergantung kepada kefahaman, pemikiran, perlakuan dan komitmen guru (Fullan,
2001; Echeverri Acosta & McNulty Ferry, 2010; KPM 2012a; Collins, 2014 & Krishnan, 2014)
yang merupakan orang tengah antara kurikulum dan murid. Ini kerana keprihatinan dan kesediaan
guru merupakan faktor utama yang mempengaruhi pelaksanaan sesuatu kurikulum. Ini bukan
sahaja akan membantu mereka mangatur startegi PdP tetapi mengembangkan potensi diri supaya
lebih kompeten selaras dengan kehendak kurikulum. Maka, selagi guru tidak mempunyai
keupayaan dan iltizam untuk melaksanakan KBAT adalah sukar untuk melihat perubahan sebenar
pada murid (Saido et al. 2015). Dapatan kajian membuktikan bahawa pemahaman guru tentang
konsep dan strategi KBAT serta efikasinya dapat membantu pelaksanaan KBAT secara berkesan
(Wilson & Bai, 2010; Le, 2013). Oleh kerana kebolehan guru merupakan sumber terpenting dalam
memberi impak yang tinggi dalam pembelajaran murid (Darling-Hammond, 2006), ia secara tidak
langsung akan mengurangkan jurang di antara pedagogi dan pembentukan pemikiran murid (Le,
2013).
Memang tidak dapat dinafikan bahawa sistem pendidikan kini mengalami perubahan pesat
dan guru terpaksa bergelut dengan pelbagai isu inovasi dan pelaksanaannya (Jeffers, 2011). Barak
et al. (2007), juga menyatakan oleh kerana pelaksanaan KBAT menuntut pelbagai perubahan pada
diri guru itu sendiri, maka tidak hairanlah guru merasakan dirinya terancam. Ini adalah kerana
mereka mungkin terpaksa keluar dari zon keselesaan yang mempunyai kebolehan dan keyakinan
yang tinggi pada masa sekarang dan masuk ke zon serbasalah. Penerapan KBAT melibatkan
132

