Page 137 - JURNAL PENYELIDIKAN AKADEMIK
P. 137
J u r n a l P e n y e l i d i k a n I l m u P e n d i d i k a n I P G M J i l i d 5 / 2 0 2 0 | 130
KESIMPULAN
Pengalaman yang dilalui oleh PI dan GD dalam bimbingan instruksional telah
memberikan satu input pembelajaran yang bermakna untuk kedua-dua pihak. Proses
pengalaman yang dilalui dalam proses bimbingan instruksional memberi banyak ruang
untuk PI dan GD membuat refleksi yang mendalam tentang keseluruhan proses tersebut.
Banyak perkara yang direfleksikan dapat membantu proses metakognitif kedua-dua
pihak untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.
Menurut Johnson (2016) pembimbing instruksional memudahcarakan pembelajaran
melalui interaksi yang berterusan, refleksi, dailog dan membuat analisis. Proses
membimbing juga merupakan satu seni pengajaran dan pembelajaran dalam
penyelesaian masalah pengajaran dan pembelajaran bilik darjah.
Tugas PI di sekolah untuk bimbingan instruksional perlaksanaan PBD adalah agak
berat dan banyak yang perlu ditelitikan. Sebagai seorang PI yang baru dilantik, pengkaji
seharusnya menguasai amalan berdailog yang lebih berkesan supaya keseluruhan
proses bimbingan dapat berjalan dengan berkesan. PI juga menggunakan kecerdasan
emosi beliau untuk membina kepercayaan dan hubungan dengan GD. Selain daripada
itu, Knight (2019) juga menegaskan pembimbing instruksional harus mempunyai
pengetahuan yang mendalam tentang pengamalan pengajaran dan dapat memberi lebih
banyak cadangan kepada guru-guru untuk membantu rakan kongsi mereka mencapai
kehendak murid-murid yang berbeza. Pengkaji harus bersifat inkuiri, sentiasa ingin tahu
apa yang dilaksanakan oleh guru yang dibimbing di dalam bilik darjah dengan
menanyakan soalan-soalan terbuka yang powerful, perlu mendengar dan berfikir dan
juga berkolaboratif dengan GD untuk mencapai matlamat yang telah dibincangkan
bersama. Johnson (2016) juga menegaskan rakan kongsi guru dan pembimbing
instruksional adalah rakan kongsi yang tidak mengancam dan seharusnya berfokus
kepada pembelajaran murid. Dengan pelbagai strategi yang dikemukakan oleh Knight
(2018) dan Pasukan Panel Modul Bimbingan Instruksional PBD (2019), PI seharusnya
berfikir apakah cara yang terbaik untuk membantu GD. Guru-guru di sekolah perlu
memahami murid-murid dalam bilik darjah mempunyai pelbagai kebolehan, konsep one
size fits all tidak lagi sesuai kerana tidak semua murid dapat belajar dengan permulaan,
perkara, cara, tempoh masa dan kelajuan yang sama. Mereka seharusnya merancang
dan melaksanakan pentaksiran bilik darjah berdasarkan kesediaan dan minat murid
dengan menggunakan pelbagai strategi, pelbagai tugasan dan pengajaran terbeza.
Proses bimbingan instruksional antara setiap pembimbing dan guru juga bersifat proses
individualistik, unik dan dibentuk bersama antara setiap pembimbing dan guru yang
terlibat. Maka bimbingan instruksional akan menjadi lebih berjaya sekiranya terdapat
komitmen ikhlas sepenuhnya PI bersama GD demi untuk memanfaatkan kualiti
pembelajaran murid-murid.

