Page 8 - JURNAL PENYELIDIKAN AKADEMIK
P. 8
J u r n a l P e n y e l i d i k a n I l m u P e n d i d i k a n I P G M J i l i d 5 / 2 0 2 0 | 1
KEMAHIRAN MELAKSANAKAN PENYELIDIKAN PENDIDIKAN DALAM
KALANGAN SISWA GURU IPG KAMPUS ILMU KHAS
1 Syed Ismail Syed Mustapa, PhD (syed_ismail@ipgkik.edu.my)
1 Lee Leh Hong, PhD (sharonlee@ipgkik.edu.my)
1 Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas
Abstrak
Kajian ini dijalankan untuk meninjau kemahiran melaksanakan penyelidikan pendidikan
dalam kalangan siswa guru IPG Kampus Ilmu Khas, Kuala Lumpur. Sampel kajian terdiri
daripada 137 orang siswa guru yang sedang mengikuti pengajian dalam Pengkhususan
Pendidikan Khas, Pendidikan Seni Visual, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan,
Pendidikan Muzik dan Pengkhususan Bahasa Inggeris. Kajian ini menggunakan
pendekatan kuantitatif melalui instrumen soal selidik sebagai rujukan utama. Dapatan
kajian menunjukkan bahawa secara keseluruhannya kemahiran melaksanakan
penyelidikan dalam kalangan siswa guru IPG Kampus Ilmu Khas berada pada tahap
tinggi dengan catatan min 4.06 (sp=.49). Analisis dalam lima (5) aspek penyelidikan
pendidikan menunjukkan bahawa tiga (3) aspek mencatatkan min pada tahap tinggi iaitu
proses penyelidikan pendidikan (min 4.11; sp=.54), tinjauan literatur (min 4.18; sp=.59)
dan metodologi penyelidikan (min 4.05; sp=.56). Dua (2) aspek lagi iaitu tatacara
penganalisisan data (min 3.79; sp=.66) dan penulisan laporan penyelidikan (min 3.98;
sp=.58) berada pada tahap sederhana tinggi. Seterusnya dapatan kajian menunjukkan
bahawa siswa guru tidak menghadapi masalah ketika membuat pembentangan
penyelidikan (min 4.02; sp=.82) dan boleh menggunakan soalan-soalan yang
dikemukakan selepas pembentangan untuk membuat penambahbaikan dalam penulisan
laporan (min 4.23; sp=.62). Dapatan kajian juga menunjukkan bahawa menurut perspektif
siswa guru penyelia dapat memberikan maklumbalas untuk tujuan penambahbaikan (min
4.59; sp=.55) dan dapat memberikan nasihat yang tepat sesuai dengan isu yang dihadapi
(min 4.58; sp=.60). Seterusnya kajian menunjukkan bahawa masalah utama yang
dihadapi oleh siswa guru adalah dalam aspek kekangan masa dan bantuan yang sangat
diharapkan adalah bimbingan dari penyelia. Setiap penyelia dicadangkan hanya
menyelia seorang siswa guru dan memberikan bimbingan sepenuhnya dalam aspek
proses melaksanakan penyelidikan pendidikan, khususnya dalam mendapatkan bahan
rujukan yang sesuai dengan kajian yang dilaksanakan.
Kata Kunci: penyelidikan pendidikan, penyelia, metodologi, kuantitatif

