Page 10 - JURNAL PENYELIDIKAN AKADEMIK
P. 10
J u r n a l P e n y e l i d i k a n I l m u P e n d i d i k a n I P G M J i l i d 5 / 2 0 2 0 | 3
ini ditawarkan di kampus-kampus Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara.
Matlamat Program ini adalah untuk melahirkan guru siswazah sekolah rendah yang
terlatih, dinamik, berwibawa dan kompeten dalam melaksanakan tugas-tugas mereka
sebagai pendidik dan memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah
Pendidikan Guru (IPGM, 2017).
Program pengajian PISMP melibatkan pelbagai kursus dan bidang yang
ditawarkan dan sesuai mengikut minat masing-masing. Secara umumnya, setiap siswa
guru yang mengikuti pengajian di IPG akan mengikuti Kursus IPG (16 kredit); Kursus
Asas Pendidikan (24 kredit); Kursus Teras (48 kredit); Kursus Amalan Profesional (16
kredit); Kursus Elektif Teras (20 kredit); dan Kursus Elektif Terbuka (9 kredit).
Berdasarkan kepada bidang penawaran kursus-kursus berkenaan, jelaslah bahawa
fokus IPG adalah terhadap pelaksanaan kurikulum pendidikan guru yang merangkumi
pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti, amalan profesional, kokurikulum dan
membudayakan amalan penyelidikan. Justeru, wajarlah kursus penyelidikan dijadikan
sebagai salah satu kursus yang wajib diambil oleh semua siswa guru yang mengikuti
pengajian di IPG.
Kursus Penyelidikan ditawarkan dalam Bidang Teras Gunasama dan diambil oleh
siswa guru ketika mereka berada di Semester 2, Tahun 3 atau juga biasanya dikenali
sebagai siswa guru Semester 6. Pada ketika ini mereka akan mengikuti Kursus Asas
Penyelidikan Dalam Pendidikan (3 kredit). Kemudian siswa guru sekali lagi akan
mengikuti Kursus Penyelidikan Dalam Pendidikan (Kertas Projek: 3 kredit) ketika berada
di Semester 2, Tahun 4 atau juga biasanya dikenali sebagai siswa guru Semester 8 iaitu
semester terakhir pengajian di IPG.
Kursus Asas Penyelidikan Dalam Pendidikan yang diambil ketika berada di
semester 6 ini memberikan pengetahuan kepada siswa guru tentang asas penyelidikan
dalam pendidikan. Dalam kursus ini, siswa guru dapat menganalisis isu-isu dalam
pendidikan yang boleh dikaji melalui penyelidikan dan membincangkan proses
penyelidikan dalam pendidikan. Di samping itu, melalui kursus ini juga, siswa guru dapat
mengaplikasikan segala pengetahuan yang diperolehi melalui penghasilan satu kertas
cadangan penyelidikan dalam pendidikan. Pengetahuan tersebut kemudiannya
diaplikasikan pula semasa mereka mengikuti Kursus Penyelidikan dalam Pendidikan
(projek penyelidikan) ketika berada di Semester 8. Melalui kursus ini, siswa guru diberi
peluang melalui bimbingan pensyarah penyelia untuk melaksanakan penyelidikan
dengan mengaplikasikan kemahiran penyelidikan yang melibatkan pelaksanaan
penyelidikan, penulisan laporan, pembentangan kertas penyelidikan dan menghasilkan
artikel penyelidikan dalam pendidikan (IPGM, 2016).

