Page 16 - LAPORAN PEO.pdf
P. 16
ABSTRAK
Kajian penilaian Objektif Pendidikan Program atau Programme Educational Objectives (PEO)
graduan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG)
adalah untuk melihat tahap pencapaian enam elemen PEO selepas 3-5 tahun berada di
sekolah. Kajian yang dijalankan ini menggunakan pendekatan kaedah kuantitatif dan kaedah
menganalisis data penyelidikan ini ialah gabungan RIT (Winsteps) untuk kajian rintis dan CTT
(SPSS IBM) bagi mendapatkan hasil analisis kajian sebenar. Hasil daripada kajian rintis ini
dianalisis menggunakan perisian Winsteps Version 3.69.1.11 dengan pendekatan model
pengukuran Rasch. Hasil kajian rintis menunjukkan nilai kebolehpercayaan responden
(person reliability) ini iaitu 0.85 yang mana nilai kebolehpercayaannya boleh diterima.
Manakala kebolehpercayaan item (item reliability) dengan catatan nilai 0.99 menunjukkan nilai
kebolehpercayaan yang tinggi. berdasarkan 35 orang responden. Penyelidik membuat
persediaan bagi melaksanakan kajian sebenar dengan memuat naik dalam google form
instrumen dalam bentuk soal selidik dengan jumlah item 146. Borang soal selidik ini dipaut
pada laman web IPGK Perempuan Melayu, Melaka. Kaedah ini digunakan kerana
pendekatannya lebih bersesuaian dengan kajian yang dijalankan, memandangkan responden
yang dipilih melibatkan bilangan responden yang ramai, iaitu terdiri daripada semua graduan
Program Ijazah Muda Pendidikan (PISMP) seluruh Malaysia yang telah mendapat
penempatan di sekolah pada tahun 2011 hingga 2013. Rasional menggunakan kaedah ini
adalah untuk memudahkan penyelidik mendapat maklumat yang diperlukan berdasarkan
soalan kajian. Beberapa persediaan perlu dilaksanakan, iaitu membina soal selidik item-item
dalam PEO, memuat naik dalam Internet menggunakan Google Form. Proses mentadbir
instrumen soal selidik kajian sebenar dijalankan dengan memuat naik dalam google form
dengan jumlah 146 item terhadap graduan PISMP IPG seramai 939 responden seluruh 27
IPG di Malaysia. Hasil dapatan analisis kajian sebenar kesemua enam elemen PEO pada
tahap yang tinggi iaitu; PEO 1 (Min=3.33; S.P=0.679), PEO 2 (Min=3.26; S.P=0.533), PEO 3
(Min=3.33; S.P=0.567), PEO 4 (Min=3.38; S.P=0.524), PEO 5 (Min=3.18; S.P=0.634) dan
PEO 6 (Min=3.27; S.P=0.589). Berdasarkan analisis secara empirikal, jelaslah bahawa
graduan PISMP mempunyai tahap elemen PEO yang tinggi.
x

