Page 77 - MODUL GEOGRAFI SEMESTER 1
P. 77
pengguna moden yang datang dari petempatan/bandar hierarki atasannya. Bandar adalah pusat
penyebaran idea pembangunan, penularan inovasi dan penyampaian teknologi dan maklumat
berguna bagi perubahan masyarakat. Wujudnya peluang pembelajaran, peluang berinteraksi
yang luas, konteks dan pendedahan kepada berbagai-bagai kemudahan mempercepatkan proses
pemodenan serta pembangunan. Institusi sosial dan ekonomi di bandar dapat melicinkan lagi
proses perubahan tersebut.
(v). Dengan meningkatkan tahap pembandaran, proses penularan pembangunan dapat
berlaku dengan lebih cepat. Pembandaran boleh berlaku melalui pembesaran saiz bandar,
perpindahan penduduk, penjalinan bandar dengan sistem pengangkutan yang cekap, peluasan
rangkaian komunikasi dan sebagainya. Di sesetengah negara peningkatan tahap primasi bandar
utama boleh membantu meningkatkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) melalui
aglomerasi ekonomi. Pengangkutan yang cekap merendahkan kos pengeluaran dan
meningkatkan daya pengeluaran.
(vi). Pemodenan melalui pendidikan menggalakan perubahan sosial dan mental. Bandar arena
dan tempat bermulanya proses perubahan. Peluang-peluang memajukan ekonomi yang lebih
luas boleh mendorong penduduk bandar membangun dengan pesat. Pembandaran dapat
melahirkan golongan kelas menengah – kumpulan penduduk yang mempunyai pendapatan
yang agak tinggi dan stabil, moden, terbuka dan berpendidikan tinggi dengan amalan
budaya/cara hidup yang berbeza dengan kumpulan penduduk miskin/luar bandar. Golongan ini
yang melahirkan pekerja profesional, pemimpin dan korporat – atau kumpulan pekerja yang
lebih mudah menerima perubahan. Melalui pembandaran juga muncul pemimpin politik dan
pemimpin masyarakat yang berfikiran luas dan berupaya mencabar kepimpinan negara supaya
melakukan perubahan ke arah pembaikan. Mereka juga cenderung untuk bertindak melakukan
perubahan dalam masyarakat. Para pentadbir, pengusaha, peniaga dan pemimpin masyarakat
ini mempunyai berbagai-bagai idea yang boleh membantu pembangunan negara.
(vii). Bandar turut menyediakan peluang pekerjaan bukan pertanian seperti perindustrian dan
perkhidmatan kepada penduduk sekitarnya. Melalui pembandaran, bandar metropolitan juga
menyediakan keadaan yang paling sesuai bagi perkembangan ekonomi moden. Industri
pembuatan dapat berkembang di bandar kerana terdapat kemudahan asas, tenaga mahir,
pasaran dan sebagainya. Begitu juga, kegiatan perniagaan firma moden, institusi kewangan,
77

